Rabu, 25 Ogos 2010

Saya akan saman - Zakaria

Mohd Ali Hashim

PULAU PINANG: Ustaz Zakaria Ahmad (gambar) akan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah menjadikan isu bacaan doa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di dalam khutbah Jumaat untuk memfitnah beliau.

“Saya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah menjadikan isu ini untuk memfitnah saya. Tindakan menyaman mereka yang terbabit sedang dalam proses oleh pihak peguam yang telah saya lantik bagi memfailkan kes ini.

“Ini melibatkan maruah saya. Mana boleh mereka sesuka hati melemparkan fitnah sedemikian,” tegasnya kepada Harakahdaily selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), semalam.

Katanya, apa yang amat dikesalkan ialah isu itu dipolitikkan oleh sesetengah ahli politik untuk jadikan modal politik.

“Diperbesarkan isu sekecil ini semata-mata untuk menyalahkan pihak lain. Ia kini sudah jadi satu isu yang serius. Saya tak boleh biarkan perkara ini disalah tafsirkan,” tegasnya lagi.

(IKUTI TEMUBUAL PENUH DALAM SIASAH JUMAAT INI)

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Maipp, Mohd Saleh Man menjelaskan tidak menjadi satu kesalahan kepada sesiapa sahaja yang mendoakan kepada orang bukan Islam untuk diberikan hidayah kepada mereka sama ada dalam khutbah atau pun di luar khutbah.

Menurut nya, dalam isu yang melibatkan Zakaria selaku pendakwah bebas yang didakwa membacakan doa khutbah Jumaat menyebut nama ketua menteri tidak harus dijadikan isu politik oleh mereka yang faham akan sejarah penyebaran agama Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi.

"Pada zaman penyebaran Islam oleh Rasulullah s.a.w. baginda pernah mendoakan supaya orang bukan Islam diberi hidayah untuk memeluk Islam. Oleh kerana itu isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana ia mencemarkan imej baik Islam pada kaca mata masyarakat lain.

"Doa untuk orang bukan Islam itu dibolehkan agar mereka diberi petunjuk dan hidayah,bukannya mendoakan kesejahteraan mereka. Manakala Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri kita hormati selaku ketua agama Islam di dalam negara dan juga negeri," katanya yang juga Adun Permatang Pasir.

Beliau berkata, isu itu tidak harus diperbesarkan lagi setelah Zakaria membuat pengakuan dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri, semalam.

Tiada ulasan: