Jumaat, 27 Ogos 2010

Rumah Duta Besar Malaysia terus dikawal ketat polis Indonesia

THE MALAYSIAN INSODER

JAKARTA — Untuk hari kedua berturut-turut, kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, Jakarta Selatan, terpaksa dikawal ketat oleh Polis Indonesia berikutan satu lagi ancaman demonstrasi dan melempar najis.

Semalam, kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) serta kumpulan gabungannya yang menamakan diri Pemuda Pemudi Anti Malaysia dilaporkan merancang melakukan perbuatan itu pada 10 pagi ini tetapi membatalkan niat itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Kumpulan sama bercadang meneruskan rancangan mereka namun sehingga petang ini, mereka belum muncul.

Seperti semalam, bahagian jalan di hadapan rumah Duta Besar Malaysia telah ditutup kepada lalulintas sejak pagi ini dan polis telah menempatkan para anggotanya di sekitar kawasan itu.

Aksi demonstrasi ini dilakukan bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos.

Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu turut menahan tujuh nelayan Malaysia. Kedua-dua pihak mempertahankan bahawa penahanan itu adalah bagi kesalahan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing.

Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua belah pihak pada 17 Ogos. — Bernama

Tiada ulasan: