KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) mendakwa pihaknya sedar wujudnya satu muslihat politik pimpinan Umno-BN untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bagi memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
Dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat majlis pimpinan petang ini, PR berkata politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan Umno-BN kerana berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
“Demi mencapai cita-cita politik tersebut pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.
“Berhadapan serangan bertali arus itu, Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan Perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan PR.
Pemimpin-pemimpin PR juga beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini.
Dalam kenyataan itu, PR juga berkata pihaknya menghormati perjuangan parti masing-masing dalam permuafakatan ikatan itu.
“Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.
“Dasar Pakatan Rakyat menyatakan Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama.
“Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama,” katanya.
Dalam kenyataan itu, pemimpin-pemimpin PR juga akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen ikatan itu, walaupun begitu “kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka.”
“Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan.
“Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno-Barisan Nasional terhadap rakyat,” katanya.
Kenyataan itu menambah, pihaknya beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini.
“Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat.
“Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan politik baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan