Selasa, 24 Ogos 2010

Hishammuddin: Tindakan tegas terhadap pihak yang bangkitkan sensitivity kaum, agama

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengancam keharmonian dengan cara membangkitkan sensitiviti kaum dan agama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata walaupun laporan mengatakan isu tersebut tidak begitu ketara di peringkat bawahan tetapi ia perlu dibendung supaya keselesaan rakyat terjamin.

“Laporan yang saya terima tidak melihat satu keadaan yang tegang dan membimbangkan, tetapi dalam hal ini, dari dulu lagi saya telah tunjukkan bahawa kita ambil tindakan yang tegas.

“Saya memang tak suka dan tak akan benarkan perkara-perkara sebegini mengeruhkan keadaan,” katanya ketika diminta mengulas kejadian sebuah surau baru di Taman Impian Pulai Impian, Temiang, Seremban yang disimbah cat merah pada awal pagi tadi.

Terdahulu, Hishammuddin (gambar) menghadiri majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada golongan ibu tunggal dan anak yatim di sini malam ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan semua ketua polis negeri telah diarah supaya bertindak sekiranya berlaku keadaan yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada rakyat oleh mana-mana individu atau kumpulan tertentu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat usaha, sama ada dirancang atau secara kebetulan, yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah-belahkan keharmonian kaum di negara ini.

“Cuma dalam siasatan (yang dilakukan), kita kena pastikan tidak ada mana-mana pihak yang dianiaya,” katanya.

Hishammuddin turut ditanya sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa kawasan di negeri itu baru-baru ini.

Katanya, perkara itu susah untuk dikatakan tetapi dalam soal yang menyentuh agama, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bijaksana kerana apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang unik, kerana suasana seumpama itu pernah dilalui sebelum ini.

“Jadi, dalam hal ini, saya percaya pihak berkuasa mampu memastikan bahawa keselamatan akan terjamin, orang ramai akan berada dalam keadaan selesa dan pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau turut mengulas cadangan khatib yang membacakan khutbah Jumaat tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mempesarkan isu itu, sedangkan polis telah menubuhkan pasukan khas untuk melakukan siasatan.

Hishammuddin berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan siapa yang bercakap benar.

Katanya, sudah menjadi tugas polis untuk menyiasat sekiranya laporan telah dibuat kerana hanya dengan siasatan yang terperinci, berani dan telus serta tidak condong kepada mana-mana pihak, barulah sesuatu kebenaran itu dapat diketahui.

“Jadi, biarlah ia berjalan dalam proses biasa... kita nak siasat kerana nak tahu apa yang sebenarnya berlaku, kerana dalam kes ini, ada yang menyokong, ada yang kata fitnah, disalah erti, dan ada yang kata ia disalah lapor,” katanya.

Tiada ulasan: