Selasa, 24 Ogos 2010

Bekas guru didakwa rogol, liwat pelajar Singapura

BERNAMA

KOTA KINABALU — Seorang bekas guru lelaki dihadapkan keMahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan iaitu merogol dan meliwat seorang pelajar perempuan warga Singapura berusia 11 tahun di sebuah sekolah rendah swasta di sini.

Adrian Simon, 31, yang diwakili peguam Hairul V. Othman, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Hakim Caroline Bee Majanil membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes.

Adrian didakwa merogol bekas pelajar itu sebanyak tiga kali dalam makmal sains di sekolah berkenaan antara 10 Februari dan 7 April lepas, mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan.

Dia juga didakwa memaksa pelajar perempuan itu melakukan seks oral terhadapnya antara 10 Februari dan 20 Februari lepas, serta meliwat mangsa antara bulan Februari dan April, di tempat sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Sabrina Jinius membantah jaminan bagi tertuduh dengan alasan kes itu berprofil tinggi dan membabitkan kanak-kanak bawah umur, dan jika ia dibenarkan, jumlahnya hendaklah tinggi.

Hairul pula berhujah bahawa kemungkinan Adrian melarikan diri adalah tipis kerana dia telah mendapat kerja baru selepas dipecat daripada sekolah berkenaan.

Peguam PJ Perira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi anggota keluarga mangsa dan Suruhanjaya Tinggi Singapura.

Sementara itu, tertuduh dilihat memakai kaca mata gelap dan seorang anggota keluarganya menutup wajahnya dengan akhbar ketika dia cuba mengelak jurugambar semasa berjalan dari lokap mahkamah ke kaunter pendaftaran bagi menandatangani beberapa dokumen sebelum dibebaskan.

Tiada ulasan: