KUALA LUMPUR: Rayuan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berhubung hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 setelah disabitkan atas tuduhan mencederakan seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya, akan didengar pada 17 Jun ini.
Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha ketika kes itu disebut dihadapannya hari ini.
Menurut hakim, mahkamah menetapkan tarikh itu bagi mendengar penjelasan kedua belah pihak selepas mengarahkan peguam Jason Tay yang mewakili Tian Chua memfailkan hujah bertulis pada 4 Mei ini.
Beliau turut memerintahkan supaya Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt selaku responden memfailkan hujah balas pada 25 Mei depan.
Ketika rayuan disebut pada 4 Mac lalu, Keng Fatt memaklumkan bahawa kedua-dua pihak baru menerima alasan penghakiman dan memerlukan masa untuk memfailkan petisyen rayuan.
Tian Chua, 47, atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang yang juga Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat itu mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman bersalah mencederakan konstabel Mohd Rosyaidi Anuar, 22, ketika anggota polis itu sedang menjalankan tugasnya dalam satu perhimpunan di Parlimen, 11 Disember 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan