Oleh: Shirzad Lifeboat
Selain daripada ketua tukang karut, UMNO melatih ramai lagi tukang karut kecil yang turut mengambil tempat di pentas utama. Maka apa sahaja yang disebut oleh ketua tukang karut ini akan segera menjadi ikutan para tukang karut kecil. Ada juga sesetengah yang menggelar tukang karut kecil ini sebagai pak turut.
Persembahan dikir barat akan datang akan di adakan di Hulu Selangor tidak lama lagi. Walaupun UMNO-BN belum lagi menamakan siapakah tukang karut kecil yang bakal menjadi ketua pencerita utama bagi para penonton di Hulu Selangor nanti, namun ibarat ayam jantan, beberapa tukang karut terlatih ini telah mula memperkasakan kokok masing-masing menurut rentak dan irama ketua tukang karut dan kumpulan dikir barat politiknya.
Tentu sekali perihal tukang karut, dikir barat dan kokok siayam jantan ini hanyalah sebuah metafora. Jika suka anda boleh menyebutnya sebagai satiris politik. Demikian pun, ia bersifat boleh-saling-bertukar-ganti atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai interchangeable dengan hal sebenarnya.
Maka berceritalah seorang daripada mereka kononnya tentang apa yang bakal dihadiahkan kepada penduduk kawasan Parlimen Hulu Selangor tidak lama lagi. Namun ia bukanlah cerita baru melainkan ibarat plot dikir barat yang ulang-ulang kembali berpuluh kali hatta beratus kali. Yang berlainan cuma watak-wataknya,
Menurut seorang ketua besar yang juga seorang Menteri dan bertaraf Naib-Presiden bernama Datuk Mohd Shafie Apdal, adapun lagu pembangunan yang tiba-tiba diperdengarkan dan akan dibawa kepada penduduk Hulu Selangor bukanlah sebuah lagi ‘janji pilihan raya’ UMNO-BN tetapi sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat juga.
Tidak dapat dinafikan terdapatnya elemen humor ketara terkandung dalam kenyataan sang menteri dan juga bapak naib presiden. Siapakah gerangan yang tidak mengetahui atau tidak faham betapa fungsi dan kewujudan kerajaan adalah untuk rakyat dan bukannya untuk memperbesarkan tembolok ahli politik atau kantong orang tertentu yang cukup berconnection dengan ahli politik. Tak perlu dislogan-slogankan kononnya ‘rakyat didahulukan’ kerana ini semua orang tahu tetapi hakikat sebenarnya ia sudah menyimpang jauh apabila banyak rungutan rakyat yang disuarakan menerusi pelbagai saluran tidak begitu diendahkan atau diretorikkan sahaja menerusi kenyataan balas.
Menurut Shafie yang juga adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, peruntukan pembangunan untuk kawasan Parlimen Hulu Selangor itu sememangnya terdapat dalam perancangan kerajaan cuma pengumumannya sahaja dibuat ketika ini yang kebetulan akan berlaku pilihan raya kecil.
Inilah yang melucukan kerana apabila kita mengimbau kenangan lalu melibatkan pilihan raya kecil berpunca dari kematian wakil rakyatnya, tiba-tiba sahaja peruntukan untuk pembangunan menjadi agenda dan manifesto utama UMNO-BN. Yang membezakan, cuma Shafie membawa variasi dalam tema dikir barat pilihan raya kecil ini dengan memasukkan sub-plot betapa peruntukan sedemikian memang ada dalam perancangan.
Kita langsung bertanya sejak bilakah kerajaan UMNO-BN merancang untuk mengadakan pembangunan dengan sekian banyak bajetnya untuk Hulu Selangor? Sekiranya ia sememangnya diintergrasikan dalam RMK-9, atau atas sebab-sebab tertentu dan mendesak wujud secara sendirian dalam Bajet Kerajaan Persekutuan untuk tahun fiskal semasa, mengapakah ia tidak diumumkan sahaja kepada umum atau kepada penduduk kawasan Parlimen berkenaan?
Apakah yang ditunggu oleh kerajaan UMNO-BN sebelum pengumuman dibuat? Kenapa lambat sangat untuk perkara yang baik ini diumumkan? Bukankah kelewatan ini amat bertentangan dengan fikrah UMNO-BN yang terkenal sebagai parti pengumuman?
Hal-hal seperti inilah yang menyebabkan rakyat sangsi di atas keikhlasan kerajaan UMNO-BN dalam meslogankan ‘rakyat diutamakan’. Nampaknya kalau ada sekalipun peruntukan yang dibuat untuk mereka, terutama mereka yang tinggal di kawasan pilihan raya di negeri yang di perintah oleh kerajaan pembangkang, mereka tidak akan mengetahuinya melainkan sekiranya berlaku pilihan raya kecil. Ini boleh diinterpretasikan sebagai kebimbangan UMNO-BN sekiranya penduduk kawasan terlibat menyangkakan peruntukan tersebut datangnya dari kerajaan pembangkang yang memerintah. UMNO-BN boleh menggunakan segala tukang karut mereka dengan segala kepakaran yang ada bagi membuat penafian bahawa tanggapan ini tidak benar. Namun rakyat pula merasakan itulah hakikat yang berlaku.
Untuk membuat penafian demikian, Shafie tidak perlu membuat perbandingan yang disangka beliau cukup logik seperti mengatakan betapa baru-baru ini beliau telah ke Tenom, Sabah bagi mengumumkan peruntukan pembangunan untuk penduduk di situ walaupun tidak terdapat sebarang pilihan raya yang akan diadakan di situ.
Sekiranya perbandingan yang dibuat itu benar dan ikhlas, mengapakah tidak ada pengumuman sedemikian di kawasan-kawasan pilihan raya yang dikuasai oleh pembangkang lama sebelum Adun atau Ahli Parlimennya meninggal dunia dan sebelum pilihan raya kecil di adakan. Benar, kenyataan Shafie yang dibuat dalam satu sidang akhbar selepas program Orang Asli @1Malaysia di Kampung Orang Asli Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor pada Sabtu lalu adalah merupakan kenyataan politik sebagai respons kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyelar kerajaan UMNO-BN yang tiba-tiba muncul dengan cerita pembangunan, tetapi tidakkah Naib Presiden UMNO itu memiliki sesuatu yang lebih intelektual untuk dikemukakan sebagai hujah?
Hal-hal seperti ini sudah tentulah memalukan, atau setidak-tidaknya menyedihkan penyokong dan ahli-ahli UMNO-BN sendiri. Dalam pada Shafie mengatakan kononnya pembangkang tandus idea dalam menghadapi pilihan raya kecil, UMNO-BN sebenarnya tidak menyedari betapa mereka lebih tandus lagi dalam mengemukan idea baru untuk digunakan dalam pilihan raya. Cerita mereka balik-balik berkisar kepada projek dan peruntukan pembangunan.
Begitulah lagu dikir barat UMNO-BN yang dituruti oleh para tukang karut mereka. Dari dulu sehingga kini, sama sahaja. Mungkin juga untuk selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan