Oleh G. Manimaran
MIC Hulu Selangor mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu menjanjikan bahawa calon “anak tempatan” akan diturunkan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.
“Hari itu (Isnin lalu) timbalan perdana menteri mengatakan anak tempatan... tapi hari ini orang luar dibawa masuk. Apakah ini bukan cakap bohong?
“Kalau mengatakan bahawa hendakkan anak tempatan, dan jika tidak mahu Datuk G. Palanivel juga, lebih baik pilih V. Mugilan atau Balasundram (naib ketua MIC Hulu Selangor,” kata Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor Raily Muniandy ketika dihubungi .
Bahagian itu diketuai oleh Palanivel.
“Kami ada ramai calon anak tempatan, yang berpelajaran... mengapa hendak membawa calon luar, dari Bahagian Selayang... calon yang pernah kalah dalam saingan Ketua Pemuda MIC bahagian (di Selayang),” katanya lagi.
Semalam beliau mewakili MIC Hulu Selangor berkata pihaknya hanya mahukan Palanivel, Ahli Parlimen empat penggal tetapi tewas dua tahun lalu, dikembalikan sebagai calon.
Katanya, jika Palanivel yang disyorkan MIC tidak diterima ahli-ahlinya akan protes.
Semalam mereka menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima calon lain yang tidak direstui parti, antaranya Mugilan yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda MIC pusat.
Kira-kira 4.30 petang tadi, kemelut calon bakal mewakili MIC berakhir dengan pengumuman rasmi nama Ketua Penerangan pusat parti itu, P. Kamalanathan untuk bersaing di Hulu Selangor.
Dengan pengumuman itu Kamalanathan akan berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Pengumuman dibuat oleh Timblan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita memilih beliau kerana pengundi mahukan orang baru sebagai wakil rakyat.
“Beliau seorang yang kuat bekerja, lurus dah seorang yang pegang janji,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN di Bilik Gerakan BN Bukit Sentosa, Bukit Beruntung.
Kamalanathan disahkan sebagai calon tengah hari tadi selepas siri perbincangan dan pertemuan dengan Muhyiddin dan kalangan pemimpin MIC hari ini.
Raily mengakui bahawa beliau secara peribadi kecewa dengan keputusan dibuat oleh MIC pusat dan BN hari ini.
“Bagaimana saya hendak keluar dan menjelaskan kepada mereka supaya mengundi. Kami akan pasang bendera seperti tetapi belum pasti sama ada akan keluar mengundi.
“Saya pun tidak boleh kawal ahli-ahli saya daripada keluar mengundi,” kata beliau beberapa cawangan sudah mula tutup bilik operasi mereka dan begitu bilik operasi utama MIC Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru.
“Pejabat Datuk Palani (ibu pejabat MIC Hulu Selangor) sudah ditutup sejak 12 tengah hari. Kalau pejabat utama sudah ditutup, bayangkan sendiri cawangan-cawangan lain,” katanya.M/Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan