Selasa, 13 April 2010

Pembaharuan cabang perundangan:Harapan dibasahi air mata

Teng Chang Khim


Mengimbas sejarah, pemimpin tertinggi yang memahat nama dalam sejarah kebanyakannya tokoh yang membawa pembaharuan struktur dan sistem politik semasa memegang tampuk kuasa. Malah, mereka yang mengalami keperitan dalam cubaan untuk membawa pembaharuan, tetap dinilai positif dalam sejarah biarpun tersungkur dalam politik.

Seandainya kayu ukur sebegini digunakan untuk menilai Perdana Menteri sekarang, Najib Razak (gambar kiri), kita tidak nampak tekad Najib untuk melakukan pembaharuan dari segi struktur dan sistem. Jangka setahun mungkin terlalu singkat untuk menilai prestasi Najib secara tepat, namun seandainya dilihat dari rangka pentadbiran keseluruhannya, kita sudah nampak tanda-bibitnya yang agak jelas.

Setakat ini, Najib sekadar melakukan penyelarasan secara strategik dan taktikal pada sistem yang lama, dalam bidang ekonomi mahupun politik. Pada hakikatnya, tempoh percubaan setahun adalah terlalu panjang untuk seseorang ahli politik yang berpengalaman, dan berjinak-jinak dengan sistem yang sedia ada untuk sekian lama. Maka, ianya satu alasan yang rapuh untuk menghalalkan sebarang kepincangan dalam rekod prestasinya.

Untuk berlaku adil kepada Najib, tuntutan agar Najib melakukan pembaharuan ekonomi secara struktural, dalam suasana dan kerangka ekonomi dunia sebegini, ditambah pula dengan sistem ekonomi Malaysia yang lemah, mungkin terlalu sukar untuknya. Namun, Najib sebenarnya mempunyai ruang yang secukupnya untuk melakukan pembaharuan dalam bidang selain ekonomi, untuk menjangkau kedudukan yang tinggi dalam sejarah.

Mencabuli kuasa pemantauan Perundangan

Sejak Mahathir Mohamad (gambar kanan) menyandang jawatan PM pada tahun 1981, cabang perundangan yang memainkan peranan dan fungsi untuk memantau cabang eksekutif, semakin disekat. Pada hakikatnya, cabang perundangan telah menjadi cop getah. Cabang eksekutif tidak pernah berdepan dengan pemantauan yang berkesan daripada parlimen, melainkan bacaan rang undang-undang yang beberapa kali ditundakan untuk tujuan taktikal. Kesemua rang undang-undang daripada kerajaan diluluskan di parlimen sewenang-wenangnya.

Struktur parlimen Malaysia pada asalnya mewarisi sistem Westminster dari Britain. Cabang eksekutif perlu berdepan dengan pemantauan dan semak-imbang daripada cabang perundangan. Mana-mana undang-undang yang ingin diluluskan harus memperolehi persetujuan daripada cabang perundangan. Dari segi teorinya, inilah perjalanan mekanisme yang dinamakan pengasingan kuasa.

Namun, apa yang memilukan, pendominasian sesebuah parti dalam tempoh yang panjang menjurus kepada perluasan kuasa eksekutif yang tidak terbatas. Peranan, fungsi dan kuasa cabang perundangan dicabuli, diremehkan dan dipinggirkan. Kedudukan cabang perundangan semakin menjunam. Pentadbiran cabang perundangan asalnya bebas daripada cengkaman cabang eksekutif. Namun, kebebasan ini dirampas berikutan pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen pada tahun 1992. Kini, unit pentadbiran parlimen tidak lebih daripada unit pentadbiran di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dewan Undangan Negeri 13 negeri yang selebihnya, ditakdirkan cacat sebermulanya. Unit pentadbiran dewan undangan negeri menjadi salah satu unit di bawah cabang eksekutif, dan Setiausaha Dewan perlu tunduk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, dan bukannya Speaker. Kita diperlihatkan bagaimana Setiausaha Dewan mengingkari arahan Speaker, sebaliknya mematuhi arahan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika rampasan kuasa berlaku di Perak pada tahun 2009.

Cabang perundangan di negara Komanwel yang lain, khususnya negara yang mantap dalam mekanisme demokrasinya, seperti Britain, Kanada, Australia, New Zealand dan India, akan memantau cabang eksekutifnya melalui jawatankuasa yang ditubuhkan. Ini merupakan komponen yang penting dalam sistem Westminster, hinggakan prosedur pemantauan dan pengubalan undang-undang yang penting disempurnakan pada peringkat jawatankuasa.

Malah, di Amerika Syarikat, parlimennya mempunyai kuasa untuk meneliti kuasa Presidennya dalam perlantikan menteri, hakim besar, duta dan pengawai kanan; malah memiliki kuasa inisiatif dalam pengubalan undang-undang. Kesemua ini boleh dijadikan teladan kepada kita untuk menuju ke arah cabang perundangan yang progesif.

Pembaharuan bergantung kepada tekad politik

Di Malaysia, struktur kerajaan memperlihatkan ketidakseimbangan kuasa antara ketiga-tiga cabang kuasa, yang mana kuasa jelas menyebelahi cabang eksekutif. Untuk memulihkan keadaan kepada normal, kita perlu kembali kepada perlembagaan dan menghayati semangatnya.

Memandangkan perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa PM seharusnya ahli dewan yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan, maka cabang eksekutif yang diterajui PM perlu bertanggungjawab kepada cabang perundangan, malah disemak-imbang dan disekat oleh parlimen, supaya mekanisme pengasingan kuasa berfungsi. Hanya apabila cabang perundangan memainkan fungsinya, barulah cabang kehakiman yang paling rapuh boleh terjamin.

Sememangnya Malaysia mampu menghambat, malah menandingi negara yang maju dalam bidang perundangan, sekiranya dilihat kepada sejarah dan pengalaman parlimen kita. Lebih-lebih lagi, taraf pendidikan wakil rakyat telah meningkat secara umumnya, dan kita mempunyai pengalaman antarabangsa yang cukup. Kunci persoalannya, apakah pemimpin mempunyai tekad politik, dan sejauh manakah tekad tersebut?

Melihat kepada suasana Malaysia sekarang, cabang perundangan adalah bidang yang memperuntukkan ruang yang paling besar (antara tiga cabang kuasa), untuk siapa-siapa pemimpin yang ingin memahat nama dalam sejarah. Namun, Najib yang sekian lama ini berjinak-jinak dengan pendominasian parti tunggal, pemusatan kuasa kepada seseorang, masih tidak "sedar diri" dari ketaksuban kuasanya.

Godaan kuasa

Malah, daripada menguar-uarkan konsep atau dasar yang kosong dengan jumlah dana awam yang besar, lebih baik Najib menumpukan perhatiannya untuk membawa pembaharuan dalam sistem dan mekanisme cabang perundangan, supaya parlimen mahupun dewan undangan negeri melalui proses pembaharuan secara keseluruhannya.

Pembaharuan ini akan memberi laluan kepada pemulihan kedaulatan cabang perundangan, memantapkan fungsi semak-imbangya, meningkatkan ketelusan dan menggalakkan penyertaan rakyat dalam pendemokrasian.

Dari segi kewangan, pembaharuan cabang perundangan merupakan pembaharuan yang paling menjimatkan kos, malah kesannya dirasai segera. Pembaharuan untuk asas negara ini memanfaatkan rakyat secara awamnya. Secara peribadinya pula, pembaharuan sedemikian akan menjadi rekod politik yang paling sukar untuk dipadamkan, mahupun diatasi selepas ini.

Sememangnya, dari segi perkiraan kuasa, pemimpin tertinggi perlu membayar harganya apabila kuasa cabang perundangan diperkukuhkan. Jangankan pemimpin yang sudah sekian lama menikmati madu kuasa seperti Najib, malah ia juga satu pilihan politik yang agak sukar untuk pemimpin yang baru merasai nikmat kuasa.

Kita mudah menganggap diri kita lebih istimewa apabila memegang tampuk kuasa. Kelemahan ini dikongsi bersama semua umat manusia, sama ada yang baru merasai madu kuasa, mahupun Najib yang sudah lama perintah dengan telunjuk.

Pembaharuan cabang perundangan sebenarnya menguji sejauh manakah wawasan Najib. Sama ada beliau terpedaya dengan godaan kuasa di depan mata, mahupun beliau berpandangan jauh dan ingin memahat nama dalam catatan sejarah. Sememangnya, ia juga bergantung kepada sejauh manakah tekad politiknya - sama ada beliau akan mengatasi mental yang membelenggu dirinya, bahawa seseorang pemimpin perlu menggenggam kuasa seketatnya, dan budaya politik UMNO yang mahukan pendominasian sepenuhnya.

Namun, dalam tempoh setahun yang lalu, kita menyaksikan bagaimana pencabulan kuasa perundangan oleh eksekutif, kehakiman diperkudakan, campur tangan kehakiman dalam perundangan dan sebagainya. Maka, sesiapa yang menaruh harapan kepada Najib untuk membawa pembaharuan sistem, maka harapannya semestinya akan dibasahi air mata yang tidak terhingga.

*Teng Chang Khim ialah speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Artikel ini disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: