Rabu, 14 April 2010

Pelantikan Anwar Tidak Wajar: ADUN Selangor

BERNAMA

SHAH ALAM: Langkah Kerajaan Negeri Selangor melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri adalah tidak wajar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Yap Ee Wah di sini hari ini.

Katanya, belum pernah dalam sejarah kerajaan negeri Selangor, seorang Menteri Besar memerlukan seorang penasihat ekonomi.

Ketika membahaskan titah ucapan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor oleh Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah semalam, Yap berkata tindakan melantik Anwar menunjukkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah tidak mampu menguruskan kewangan dan ekonomi negeri.

ADUN dari Barisan Nasional (BN) itu juga berkata mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dilaporkan sebagai berkata jika RM1 gaji sebulan yang dibayar kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu maka nilai ekonomi Selangor juga berada pada kadar RM1 sahaja.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak faham kewangan ekonomi negara...dia taksub dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia dan terima nasihat mereka bulat-bulat," katanya.

Akibatnya pada krisis kewangan 1998, ekonomi negara menjadi lebih teruk apabila perbelanjaan kerajaan dikurangkan, kadar faedah dinaikkan, tempoh hutang lapuk dikurangkan daripada enam bulan kepada tiga bulan, katanya.

Bagaimanapun setelah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menguruskan ekonomi negara di mana beberapa langkah seperti mengawal keluar masuk ringgit dan pasaran saham, ekonomi negara berjaya dipulihkan tanpa bantuan IMF dan Bank Dunia, kata Yap.

"Tindakan MTEN memulihkan ekonomi...bukan Anwar yang hampir musnahkan ekonomi negara," katanya lagi.

Amiruddin Shari (PKR-Batu Caves) kemudian bangun mencelah dan berkata, ekonomi Indonesia dan Korea Selatan yang menerima bantuan IMF dan Bank Dunia pulih lebih awal daripada Malaysia.

Bagaimanapun, Yap berkata, sungguhpun ekonomi Malaysia pulih lewat sedikit tetapi negara tidak perlu berhutang dengan badan kewangan dunia itu.

Tiada ulasan: