MELAKA: MCA akan menganjurkan program anak angkat di kampung baru masyarakat Cina di kawasan Parlimen Hulu Selangor bagi mendekatkan lagi hubungan dengan pengundi yang akan mengundi pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 25 April ini.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, melalui program itu anggota MCA terlibat akan turut menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan dan maklumat lain yang berkaitan kepada pengundi.
"Kita sudah membuat persiapan rapi, kita mengadakan kempen setiap hari sekarang untuk dekatkan lagi dengan pengundi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Liow yang juga Menteri Kesihatan menghadiri majlis perasmian Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, di Bandar Hilir di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Pilihan raya kecil kerusi parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 17 April ini.
Liow berkata MCA akan bekerjasama dengan parti komponen lain dalam Barisan Nasional berkempen bagi memastikan calon BN menang pada pilihan raya kecil itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan