KUALA NERANG: Laporan polis demi laporan polis dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan tindakan kerajaan mengakan perjanjian dengan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi, APCO Worlwide.
Terkini, anggota Parlimen Padang Terap, Mohamad Nasir Zakaria dengan diiringi oleh para pemimpin PAS kawasan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang pagi tadi. Sebelum itu, Nasir juga mengedarkan risalah mengenainya kepada penjual dan pengunjung pasar Kuala Nerang.
Dalam laporannya, Nasir meminta agar pihak polis dapat melakukan satu siasatan terperinci terhadap Najib dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin mengenai satu perjanjian dengan APCO itu.
Nasir dalam laporannya berkata, perjanjian antara kerajaan Malaysia itu telah dimeterai dengan APCO pada 4 Ogos 2009 lalu. Beliau telah mengemukakan satu salinan perjanjian itu kepada polis disamping sesalinan Letter Of Acceptance yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bertarikh 15 Julai 2009.
"Saya percaya bahawa Syarikat APCO Worldwide seperti yang tersebut di atas mempunyai kaitan dengan Kerajaan Haram Israel," kata Nasir. Nasir turut mengemukakan asas bantahan beliau iaitu:
1. Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hubungan Diplomatik dengan Negara Haram Israel. Sudah tentu berurusan dengan syarikat dari negara tersebut yang lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar Negara Israil akan mendedahkan banyak rahsia negara.
2. Negara tersebut diketahui telah menindas rakyat Palestin termasuklah membuat kepungan besar kepada Bandar Gaza dengan menyekat kemasukan makanan dan ubatan. Parlimen Malaysia telah mengadakan Sidang Khas Parlimen mengutukpengepungan tersebut. Justeru seolah-olah kerajaan melanggar keputusan sendiri apabila mengadakan hubungan dengan syarikat dari Negara tersebut.
3. Syarikat APCO diketahui mempunyai rekod perjanjian dengan Negara Haram Israel. Bersama ini saya sertakan sesalinan perjanjian yang membuktikan hubungan Kerajaan Israel dan APCO sebagai rujukan.
"Saya selaku rakyat Malaysia amat bimbangkan hubungan secara kontrak dengan Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd tersebut mendedahkan maklumat sulit Negara dan boleh mengancam keselamatan Negara.
"Saya sebagai seorang Muslim juga amat terasa sedih apabila hubungan dengan syarikat ini dilakukan dalam keadaan Umat Islam dan bukan Islam ditindas oleh rejim yang ganas tersebut," lapor Nasir.
Sehubungan itu, beliau memohon supaya satu siasatan terperinci di adakan terhadap Najib dan Khairy di atas tindakan mereka bermati-matian mempertahankn perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. seperti di salinan perjanjian yang dikemukakan itu.
"Ia menggambarkan seolah-olah isu keselamatan negara tidak begitu penting sedangkan maklumat keselamatan Negara akan diperolehi secara mudah oleh Kerajaan haram Israel.
"Saya juga memohon supaya satu siasatan dibuat bagi memastikan apakah tujuan sebenar kedua-dua individu terbabit di dalam mempertahankan kontrak yang dimeterai dan apakah “interest” kedua-dua individu tersebut di dalam perjanjian yang telah dimeterai," kata Nasir dalam laporannya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan