SERENDAH: Kawasan Pusat komuniti Serendah penuh sesak dengan ribuan penyokong Pakatan Rakyat menantikan pengumumun calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kerusi Parlimen Hulu Selangor .
Bukan sahaja di dalam dewan penuh sesak tetapi ruang sekitar juga dibanjiri ribuan manusia yang datang bagi menunjukkan sokongan kepada calon Pakatan Rakyat.
Rata-rata yang hadir menganggarkan jumlah penyokong Pakatan Rakyat ialah seramai 5,000 orang.
Mereka bersorak gembira dan bertepuk tangan apabila nama Datuk Zaid Ibrahim diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat Hulu Selangor.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di depan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin DAP dan PKR sendiri.
Semua pemimpin PKR yang mempunyai prospek calon di sini (Hulu Selangor) menyokong penuh pemilihan Zaid bertanding di Hulu Selangor.
“Orang Umno, berebut-rebut nak jadi menteri tetapi Zahid letak jawatan, dia korbankan jawatan. Kita mahu dia masuk Parlimen gegarkan Umno yang angkuh itu,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.
Hadi dan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat juga merestui Zaid bertanding atas tiket Pakatan Rakyat di Parlimen Hulu Selangor.
“Saya telah berbual-bual dengan Datuk Nik Aziz yang kini berada di Mekah mengenai perkara ini (bertanding di Hulu Selangor),” kata Zaid dalam ucapannya.
"Saya juga dari keluarga miskin" – Zaid
Zaid juga menjelaskan beliau sudah lama tinggal di Selangor dan tahu mengenai orang miskin di Hulu Selangor kerana beliau juga berasal dari keluarga miskin. Saya boleh jadi suara kepada rakyat di sini,” katanya lagi.
Sebaik diumumkan sedbagai calon, Zahid bersalam dengan pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai yang mengucapkan tahniah kepadanya.
Zaid juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat kerana memilih beliau sebagai calon dan memberi kepercayaan kepadanya untuk terus membela nasib rakyat di Hulu Selangor.
Di luar dewan, masyakarat India dan Cina yang ditemui ternyata sangat berpuas hati dengan pemilihan Zaid sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor.
Mereka berkata, orang Cina dan India akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan Zaid.
Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Halili Rahmat yang turut disenaraikan sebagai potensi calon juga hadir malam tadi untuk memberikan sokongan kepada Zaid.
Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya esok dan diantara yang disebut-sebut ialah Datuk G Palanivel atau V Mugilan.
Pilihan raya kecil Hulu Selangor diadakan berikutan kematian Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon dan 25 April hari mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan