Selasa, 13 April 2010

Bakar gereja: Tiga dibicara mulai 6 Julai

MSTAR ONLINE



Tiga penghantar surat yang didakwa membakar gereja Gereja Metro Tabernacle di Taman Desa Melawati di Kuala Lumpur tahun lalu akan dibicarakan mulai pada 6 Julai ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt iaitu antara 10 hingga 12 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan

Pada 29 Januari lalu, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di atas tuduhan membakar gereja berkenaan pada 8 Januari tahun ini.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat menggunakan bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Ketiga-tiga mereka - Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 24, Raja Muhammad Idzham Raja Ibrahim, 22, dan rakan mereka Azuwan Shah, 23 dibenarkan diikat jamin dengan RM20,000.

Mengikut Seksyen 436, jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Idzham diwakili peguam Zambri Ibrahim.

Peguam Rosal Azimin Ahmad pula mewakili Azuwan Shah.

Serangan bom api pada 8 Jan itu mengakibatkan bahagian bawah gereja tiga tingkat di Desa Melawati, Kuala Lumpur itu musnah.

Tiada ulasan: