Ahad, 16 November 2008

Guru tuisyen ditahan sertai majlis anti-ISA

Athi Veranggan


Majlis memasang lilin anti-ISA yang diadakan secara aman di Esplanade, George Town malam tadi dicemari dengan penahanan penganjur bersamanya, seorang guru tuisyen, Paula Khoo Gaik Hong.

Paula Khoo, 47, yang kali pertama menganjurkan majlis seumpama itu bagaimanapun dibebaskan empat jam kemudiannya, dengan jaminan polis, selepas suaminya BS Khor, 51, menandatangani perintah jaminan tersebut.

Paula dikehendaki melaporkan diri di balai polis Jalan Patani pada 28 November.

Penahanan Paula, sejurus selepas majlis selama 40 minit itu, selesai pada jam 8.40 malam, mencetuskan kritikan dari para aktivis, yang menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak wajar, tidak rasional dan satu taktik intimidasi'.

Sebelum itu, kira-kira 200 orang aktivis memasang lilin ketika menyertai majlis itu anjuran satu kumpulan yang dinamakan Rangkaian Anti-ISA Pulau Pinang.

Ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta tersebut yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.

Ketika majlis tersebut hampir berakhir, sepasukan anggota polis, yang diketuai Ketua Inspektor Alimin Ali mengarahkan mereka bersurai dan mereka mematuhinya.

Ketika itu, Paula sedang berdiri di tepi jalan menunggu kereta suaminya apabila anggota polis - yang berpakaian seragam dan berpakaian biasa - menghampirinya dan memintanya mengikut mereka ke ibipejabat polis di Jalan Patani untuk memberi kenyataan.

Paula kelihatan terperanjat ketika dia dibawa dari situ dengan sebuah van polis.

Hanya bila tiba di balai polis, Paula dimaklumkan oleh pegawai penyiasat, yang hanya dikenali sebagai Inspektor Ibrahim Husin, bahawa di ditahan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram.

Dua Ahli parlimen DAP, Liew Chin Tong dan Jeff Ooi; bekas ketua Wanita Gerakan, Rhina Bhar; aktivis sosial, BK Ong bersama dengan kira-kira 15 aktivis anti-ISA berada di balai polis tersebut untuk memberi sokongan.

Selepas dibebaskan, Paula memberitahu wartawan apa yang dilaluinya itu membuatnya lebih memahami nasib tahanan ISA dan keluarga mereka.

Ong pula berkata penangkapan Paula tidak perli kerana majlis tersebut sudah selesai dan orang ramai sudah bersurai.

Di majlis tersebut, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng; Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia, Gary GV Nair; Penolong Ketua PAS Bayan Baru, Raziz Mohd Nor adalah antara yang berucap mendesak supaya ISA dihapuskan.

Tiada ulasan: