oleh G.MANIMARAN
PUTRAJAYA: Pembentukan kerajaan menerusi pendekatan 'jalan belakang' bukan sesuatu yang diinginkan oleh rakyat negara ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.
Malah, kata beliau, tindakan membentuk kerajanan sama ada negeri ataupun peringkat persekutuan, yang hangat diperkatakan sejak pilihan raya umum Mac lalu, dengan cara melompat parti adalah tidak bermoral.
"Saya tidak fikir itu (membentuk kerajaan menggunakan jalan belakang) yang diinginkan oleh rakyat.
"Ia juga tindakan tidak bermoral kerana wakil (rakyat) dipilih menerusi parti, melainkan mereka calon Bebas.
"Malah, itupun tidak betul (wakil Bebas menyertai mana-mana parti kemudian)," kata beliau dalam temu bual khas sebelum mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi badan pengendali pilihan raya 30 Disember ini.
Tegas Ab. Rashid, tindakan melompat parti hanya disebabkan niat dan tujuan memperoleh manfaat peribadi merupakan tindakan tidak bermoral.
"Tetapi dalam politik siapa peduli," kata beliau sambil menambah, langkah tersebut kadangkala ada baiknya kepada negara.
"Lompat parti berlaku di mana-mana sahaja di dunia," katanya lagi.
Spekulasi mengenai Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan dengan cara memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti banyak diperkatakan sejak 8 Mac lalu.
Antara lain Pakatan Rakyat, pada April lalu, mengumumkan pelan membentuk kerajaan persekutuan dengan memperoleh 32 wakil rakyat BN.
Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan pada tarikh sasaran 16 September lalu.
Bulan lalu, Ketua Pembangkang di Parlimen dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau tidak mahu bercakap lagi mengenai usaha membentuk kerajaan dengan cara tersebut.
Sasaran Pakatan Rakyat itu sejak April lalu mendapat reaksi bercampur-campur.
Kini BN mempunyai 138 wakil di Dewan Rakyat setelah Parti Maju Sabah (Sapp) yang mempunyai dua perwakilan keluar BN September lalu.
Pakataan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS mempunyai 81 anggota manakala tiga yang lain adalah Bebas.
Ab. Rashid, yang pernah terlibat secara langsung mengendalikan enam pilihan raya umum termasuk sebagai setiausaha sehingga pilihan raya umum 1995 berkata, tidak perlu ada undang-undang bagi mengawal tindakan wakil rakyat melompat parti.
"Tidak... kerana ia adalah kebebasan dan hak (mereka) walaupun ia dari segi moral bukan tindakan yang betul.
"Tetapi orang melakukan kesalahan atas nama kebebasan," katanya lagi.
Pada 31 Disember, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baru akan menggantikan Ab. Rashid.
Abdul Aziz, 58, merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang bersara wajib pada 24 Januari 2006 sebelum dilantik semula ke jawatan sama secara kontrak.
Pelantikan Abdul Aziz dibuat kerana Ab. Rashid akan tamat tempoh perkhidmatannya apabila mencapai umur 66 tahun pada 30 Disember ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan