Ahad, 30 Disember 2018

Tak mustahil setahun sahaja jadi PM, kata Tun M

Mohammad Arif Nizam

xMGF30122018_PERHIMPUNAN-PPBM52-681x454
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi bayangan beliau mungkin tidak menjadi Perdana Menteri selama dua tahun seperti yang dipersetujui dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tempoh peralihan mungkin dipendekkan bergantung kepada keadaan kesihatannya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak pernah berbincang dengan Anwar yang juga Presiden PKR berkaitan tempoh itu ketika mereka bertemu baru-baru ini.

“Saya tidak kecewa (tempoh pendek), saya janji kena tunaikan. Ada yang fikir terlalu pendek dan mereka berhak beri pandangan itu. Mungkin satu tahun saya tidak tahu, semua tak mustahil.

“Kalau rakyat hendak lama, saya kena jaga kesihatan saya sama kerana saya sudah tua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas berakhir Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini petang tadi.

Beliau ditanya sama ada kecewa kerana membuat perjanjian awal untuk menjadi Perdana Menteri hanya dua tahun sahaja dan rakyat masih mengharapkan beliau memegang jawatan itu lebih lama.

Ditanya pergeseran yang melanda PKR melibatkan Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dlihat berbeza pendapat, Mahathir enggan masuk campur dalam hal dalam parti komponen PH itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: