Selasa, 25 Disember 2018

Kit Siang mahu Anugerah Adib diwujudkan

Wartawan MalaysiaGazette

xMGF17122018_ADIB-MENINGGAL18-681x454
Sebahagian pegawai bomba memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya selepas proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan supaya satu anugerah tahunan dinamakan atas ahli bomba yang meninggal dunia akibat rusuhan Kuil Maha Mariamman, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Jelasnya, Anugerah Adib itu diwujudkan bagi memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia yang berdedikasi ke arah pembangunan dan perpaduan Malaysia baharu.

“Adib bukan sahaja wira Melayu tetapi hero kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Allahyarham perlu diberi penghormatan kerana menjadi inspirasi ke arah pembangunan Malaysia baharu yang akan menjadi simbol kejayaan sebuah negara pelbagai kaum kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kit Siang mencadangkan supaya Anugerah Adib dilancarkan semasa Hari Kebangsaan tahun hadapan sebagai tanda penghargaan ke atas perkhidmatan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh anak muda berusia 24 tahun itu.

“Memang ada pihak yang mahu kematian Adib dijadikan api yang menyemarakkan ketegangan kaum dan agama serta mencipta keresahan di dalam negara ini.

“Tetapi saya rasa itu bukan yang Adib mahukan kerana beliau mengorbankan nyawanya untuk pembangunan sebuah negara yang bersatu-padu, harmoni, berjaya dan makmur dengan rakyat yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya,” tambahnya lagi.

Muhammad Adib meninggal dunia selepas lebih 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan teruk dibelasah oleh perusuh-perusuh di kuil berkenaan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: