Sabtu, 7 Mei 2016

Tolonglah ‘cairkan’ RM60 bilion




 
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


SEPERTI rancangan televisyen yang sering diulang tayang, isu harta tidak dituntut di negara ini turut mengalami nasib sama. Seolah-olah agenda rasmi, isu ini wajib dise­but saban tahun oleh sesiapa sahaja termasuk ahli akademik, agamawan dan pemimpin politik. Kemudiannya dipetik pula oleh khalayak bagi dijadikan bahan ke dalam blog dan penulisan di alam maya

Cuba taip, “harta tidak dituntut” dalam enjin carian Google, pasti akan keluar berduyun-duyun artikel berkaitan. Setakat Dimensi ini ditulis, terdapat kira-kira 539,000 bahan berkaitan isu yang dibangkitkan ini, tidak termasuk dalam enjin-enjin carian lain.

Angka terkini jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati di negara ini ialah sebanyak RM60 bilion, terus menaik. Contohnya pada 2006 dianggarkan nilai harta masih beku ialah RM38 bilion, meningkat kepada RM40 bilion pada 2009 dan begitulah seterusnya.

Perkara ini sering dibincangkan dalam pelbagai platform sama ada secara rasmi atau sebaliknya, tetapi jumlahnya terus meningkat. Kenapa ini berlaku? Adakah kerana tiada usaha proaktif pihak berkuasa atau mungkinkah rakyat negara ini terlalu kaya dan begitu berjaya sehingga sanggup membiarkannya begitu sahaja.

Sedikit perkiraan matematik mudah. RM1 bilion sama de­ngan RM1,000 juta, cuba bayangkan berapa nilainya RM60 bilion jika ditukar kepada juta?

Sebagai perbandingan, Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri pada 23 Oktober tahun lalu memperuntukkan kira-kira RM267 bilion untuk manfaat seluruh negara membabitkan 29 juta penduduk. Ini bermakna nilai harta tidak dituntut sebanyak RM60 bilion itu seperti mewakili kira-kira 22 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet berkenaan. Bayangkan apa yang boleh dilakukan sekiranya harta ‘atas angin’ itu dicairkan?

Ini isu besar sebenarnya, umat Islam terutamanya jangan sesekali memandang remeh isu pengurusan harta pusaka, wasiat, hibah dan wakaf kerana boleh memberi impak kepada ekonomi masyarakat secara keseluruhannya. Jika dibiarkan, bakal membantutkan pembangunan taraf ekonomi umat Islam termasuk merencatkan penjanaan peluang-peluang pekerjaan, pembinaan infrastruktur dan sebagainya.

Terdapat tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa harta pusaka hanya boleh diselesaikan melalui hukum fa­raid, bukan melalui kaedah lain. Akibatnya berlakulah kelewatan urusan pembahagian yang membawa kepada pergaduhan sesama waris, lebih teruk apabila kes ini berlapik-lapik ke beberapa keturunan dan menjadi begitu kritikal sehingga tidak dapat diselamatkan lagi.

Perlu diakui walaupun pahit, isu pembahagian harta pusaka adalah sesuatu yang amat sensitif kerana lazimnya terdapat dua tabiat buruk dalam kalangan Melayu Islam iaitu membolot kesemua harta pusaka dan tidak menghiraukan urusan pewarisan harta pusaka itu sendiri.

Masalah tersebut tidak akan timbul sekiranya masyarakat sedar kepentingan menulis surat wasiat tetapi hakikatnya ramai orang Islam menganggap bahawa mereka tidak memerlukan wasiat kerana kewujudan hukum faraid.

Kaedah penulisan wasiat sebenarnya mampu mengatasi semua permasalahan itu kerana mampu membezakan antara harta pusaka dan pemberian atau hibah. Antara kelebihan menulis surat wasiat ialah mampu mempercepatkan proses surat kuasa pusaka, mengelak persengketaan antara waris di samping dapat melantik wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan.

Namun terdapat stigma dalam kalangan segelintir masyarakat yang menganggap apabila harta diagihkan terlebih dahulu sebelum pemiliknya meninggal dunia bakal meng­akibatkan mereka disisihkan, seterusnya kebarangkalian untuk dihantar mendiami rumah orang tua adalah amat tinggi.

Betulkah andaian ini? Semuanya bergantung kepada ajaran dan didikan ibu bapa itu sendiri. Malah golongan ibu bapa perlu bertanggungjawab mengelak waris-warisnya daripada bergaduh sesama sendiri.

Jangan sesekali mengambil jalan mudah membiarkan wa­ris-waras yang hidup untuk menguruskannya, sebaik-baiknya selesaikannya semasa masih hidup bagi mengelak timbulnya kesulitan di kemudian hari.

Yang mana satu pilihan hati, sama ada dikhuatiri ditinggalkan di rumah orang tua atau pemilik asal harta yang bersemadi akan terus terseksa selama mana urusan pembahagian yang sepatutnya selesai secara aman dan harmoni, tidak menemui penyelesaiannya sehingga bertahun-tahun dan warisnya pula asyik bergaduh sesama sendiri?
 
 

Tiada ulasan: