Selasa, 31 Mei 2016

Tangguh usul pinda Akta 355 untuk beri ruang kepada bukan Islam - Tuan Ibrahim

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man percaya tindakan menangguhkan usul meminda Akta 355 mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat minggu lalu akan membuka ruang kefahaman kepada bukan Islam.
 
Katanya, PAS juga bersedia mengadakan dialog dan perbincangan mengenai rang undang-undang itu dengan golongan berkenaan.
 
"Inilah kelebihan yang ada pada PAS. Kita bukan ambil sikap tergopoh-gapah. 
 
"PAS sedia dengan sebarang dialog dengan mana-mana pihak untuk memahami tanggungjawab kita untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
"Kita kemukakan gagasan penyelesaian cara Islam bukan bermakna tidak mengiktiraf agama lain. Kita membawa penyelesaian Islam sebab kita yakin Islam bersifat rahmat untuk manusia," katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 di Kelantan Trade Centre, petang tadi.
 
Tuan Ibrahim juga membidas tindakan MCA, MIC dan Gerakan yang mengugut meletakkan jawatan sekiranya Umno-Barisan Nasional (BN) berkompromi dengan PAS berkenaan RUU itu.
 
"Kita saksikan bagaimana munculnya pelbagai bantahan daripada komponen BN, iaitu MCA, MIC dan Gerakan yang mengugut meletak jawatan kalau menerima enakmen tersebut.
 
"Sepatutnya mereka meletak jawatan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berani beri amaran kepada kerajaan supaya letak kerajaan atas bebanan ditanggung rakyat," tegasnya.
 
Khamis lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon menangguhkan usul meminda Akta 355 walaupun rang undang-undang persendirian itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan pada sidang Parlimen baru-baru ini.
 
Hadi memohon usul itu ditangguhkan ke sesi akan datang dan ia diluluskan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.
 
Beliau berkata RUU untuk meminda Akta 355 yang bertujuan membuka ruang kepada pelaksaan hudud di Kelantan ditangguhkan bagi memberi peluang ‘masa’ kepada ahli Parlimen.
 
Sementara itu Tuan Ibrahim menyifatkan penganjuran muktamar pada tahun ini sebagai satu kejayaan 'membersihkan' kumpulan yang menentang Hadi, sebagaimana yang berlaku pada Muktamar PAS ke-56, tahun lalu.
 
Bagaimanapun tegasnya, krisis yang berlaku pada ketika itu tidak langsung menggoncangkan PAS secara keseluruhannya.
 
"Muktamar kali ini dilakukan selepas berlaku sedikit gegaran, mungkin di tiga skala Ritcher.
 
"Sedikit ribut yang mematahkan ranting, dahan dan daun kering. Tetapi yakinlah yang akan menggantikan ranting, dahan dan daun kering itu adalah pucuk subur dan hijau yang akan menyemarakkan pokok itu," ujarnya sambil disambut laungan takbir perwakilan.
 
Tuan Ibrahim juga berkata PAS 'tidak kisah' hilang rakan dalam perjuangan politik asalkan parti itu tetap istiqamah dalam memperjuangkan agenda Islamnya.
 
Ia dipercayai merujuk kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) pada tahun lalu selepas DAP dan PAS menamatkan tahaluf siyasi kerana agenda parti Islam berkenaan membawa hudud.
 
"Kita hilang rakan sebab istiqamah dalam dasar yang kita bawa. Tetapi yakinlah selagi mana kita berada atas landasan sebenar, Allah tidak akan sia-siakan kita dan tidak akan mengecewakan kita," tegas pemimpin parti itu.
 
Perpecahan PR akhirnya membawa PAS membentuk Blok Ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dalam memperjuangkan budaya politik matang dan sejahtera.
 
Sementara PKR dan DAP bersama dengan parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN) menerusi Pakatan Harapan (PH). 


Tiada ulasan: