Selasa, 17 Mei 2016

Skandal 1MDB: Bank Swiss akan siasat kakitangannya

MALAYSIAKINI




Bank Swiss yang terlibat dalam siasatan global 1MDB, BSI SA, dikatakan akan menyiasat kakitangannya dan urusniaga yang dilakukan melibatkan dana pelaburan Malaysia itu, menurut laporan Bloomberg.

Memetik sumber, seorang kakitangannya sedang disiasat di Singapura, adalah pengurus kepada pegawai bank yang didakwa di negara tersebut.

Pengarah urusan perkhidmatan pengurusan kekayaan telah digantung kerja sementara siasatan sedang berjalan, kata sumber itu.

Ia, bagaimanapun, menekankan pengarah urusan itu tidak dituduh melakukan sebarang kesalahan oleh pihak berkuasa Singapura.

Inkuiri BSI yang sedang berjalan dilaporkan berlaku ekoran pihak berkuasa peringkat antarabangsa menyemak dakwaan 1MDB digunakan untuk menyalurkan dana kepada individu berkaitan politik.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, bank Swiss telah memperkenalkan 1MDB kepada dana Cayman Islands yang menerima pelaburan sebanyak AS$2.32 bilion.

Pelaburan itu dan urusniaga berkaitan dengannya tertakluk kepada siasatan jenayah, termasuk mereka yang melakukannya di Singapura.

Pihak berkuasa kewangan Singapura telah menyoal kira-kira 40 bank, termasuk dua bank terbesar Australia, dalam siasatannya berkaitan dana-dana tersebut.

Sebelum ini, bekas pegawai BSI Bank yang beroperasi di Singapura berdepan tiga lagi dakwaan tambahan atas pergerakan dana dari akaun yang dikaitkan dengan 1MDB, demikian menurut laporan Straits Times Singapura.

Yeo Jiawei telah digambarkan oleh pihak pendakwa sebagai memainkan "peranan berpusat" dalam pergerakan dana dan menyembunyikan transaksi.

Pihak pendakwa berkata, para penyiasat mengesyaki "sejumlah wang - S$200,000 dan US$200,000 - dipindahkan bagi pihak Yeo" kepada Harry Elias Partnership, firma guaman untuk peguamnya, Philip Fong, "mungkin perolehan berkaitan pelakuan jenayah".

Pegawai bank berusia 33 tahun itu didakwa buat kali pertama pada 16 April ekoran cuba menghalang keadilan, menipu bekas majikan dan penggubalan wang haram, membawa kepada enam dakwaan ke atas beliau.

Dakwaan pertama

Sumber seterus memberitahu Bloomberg yang BSI telah memaklumkan pihak berkuasa kewangan Singapura tentang perkembangan inkuiri tersebut.

Tiada ulasan: