Rabu, 4 Mei 2016

Sistem pendidikan tidak wajar dilibatkan dengan politik

 Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian


SHAH ALAM - Penganalisis politik Fakulti Sains Sosial, Universiri Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian bersetuju dan berpandangan bahawa sistem pendidikan negara tidak seharusnya dicampur adukkan dengan agenda politik.

Sivamurugan berkata, beliau percaya pihak pelaksana tidak mahu mempolitikkan pendidikan namun dilema yang terpaksa dihadapi adalah tafsiran yang berbeza-beza ke atas pelaksanaan sesuatu dasar serta program.

"Ia juga mungkin dibuat berlandaskan tanggungjawab ke atas jawatan yang disandang.

“Sebagai contoh, kerajaan bagi peruntukan untuk bina sekolah dan itu dibuat berdasarkan tanggungjawab kementerian dan kerajaan. Namun ada pihak yang bagi tafsiran salah seperti itu dipolitikkan, jadi di situlah perlu diberi penjelasan yang jelas,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Menurut Sivamurugan, adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk memberi perincian ke atas sebarang pelaksanaan walaupun ia dilihat sebagai satu elemen politik oleh sesetengah pihak.

Ujarnya, merujuk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang dipinda sebelum ini telah memberi kelonggaran kepada para mahasiswa untuk berpolitik, namun ia seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak berkenaan.

“Auku sendiri telah memberi kelonggaran untuk mahasiswa terlibat dalam politik dan secara tak langsung bila mereka aktif, sudah semestinya akan wujud idealisme tertentu yang dibawa.

“Ia (mahasiswa) mungkin akan menyokong atau mengkritik sesuatu dasar yang kadang-kadang dilihat sebagai satu elemen politik. Walhal tidak ada satu garis pemisah jelas ke atas apa yang dilihat itu merupakan satu yang bersifat politik,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz  memberikan peringatan buat semua pihak terlibat dalam sistem pendidikan negara supaya tidak melibatkan bidang itu dengan politik.


Tiada ulasan: