Khamis, 5 Mei 2016

Singapura kini tumpu pelaburan 1MDB di Cayman

MALAYSIAKINI




Penyiasat Singapura kini mungkin memberi tumpuan kepada pelaburan kontroversi 1MDB di Cayman dalam siasatan besar-besarannya ke atas firma pelaburan Malaysia itu yang membabitkan beberapa negara, lapor The Business Times.

Akhbar harian kewangan Singapura itu membuat kesimpulan berkenaan berdasarkan perbicaraan baru-baru ini dan siasatan yang membabitkan dua individu yang didakwa di mahkamah dalam proses siasatan.

Bekas tokoh bank BSI SA Yeo Jiawei dikenakan tuduhan berkaitan menipu BSI Singapura pada tahun 2012, manakala Kelvin Ang berdepan dakwaan rasuah dan telah ditahan selama 16 hari untuk membantu siasatan.

Pihak berkuasa sedang menyiasat "urus niaga yang rumit serta bertingkat" dengan "elemen rentas sempadan" melibatkan banyak syarikat ‘kosong’ dalam siasatan mereka ke atas 1MDB, kata ketua pendakwa Singapura Tan Ken Hwee.

Beliau memberitahu mahkamah dalam sebutan ketiga kes Ang. Ang didakwa pada 20 April lalu.

"Menganalisis semua urus niaga terbabit akan terus mengambil masa yang agak lama.

"Kemajuan dicapai dalam siasatan berhubung peranan tertuduh dalam pelbagai perkara yang sedang diteliti.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa siasatan yang memerlukan tempoh lanjut tahanan reman," kata Tan dalam hujahnya untuk melanjutkan tahanan reman Ang selama seminggu lagi.

"Pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial sedang menyiasat perkara ini dan perkara berkaitan sepanjang masa dan kami jangka untuk memuktamadkan kedudukan tertuduh dalam tempoh enam hari akan datang," katanya.

Hakim Christopher Goh membenarkan permohonan pendakwaan itu.

Walaupun tidak menyebut nama 1MDB di mahkamah, akhbar itu berkata umum mengetahui bahawa kes itu melibatkan siasatan jejak aliran wang 1MDB.

Ia juga melaporkan bahawa sebuah pusat kewangan Singapura telah dilantik bagi menilai dana kontroversi 1MDB sebanyak AS$2.318 bilion di Kepulauan Cayman.

Tiada ulasan: