Sabtu, 21 Mei 2016

Shaharuddin nafi jadi calon PKR untuk PRK Sungai Besar

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pensyarah Unisel, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menafikan beliau adalah calon bagi PKR untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal hari ini.
 
"Tak tahu, perkara (calon) belum dibincangkan lagi, di peringkat PKR tak bincang pun mengenai calon. Kalau maklumat itu datang dari kepimpinan tertinggi tak betul juga kerana ia tak pernah dibincang, setahu saya.   
 
"Bagi diri saya, saya nafikan kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh PKR pusat," katanya kepada Antarapos, menjawab laporan yang mengaitkan beliau sebagai calon pilihan PKR untuk bertanding di Sungai Besar.
 
Portal mStar yang memetik sumber parti dilaporkan berkata kepimpinan telah memutuskan bahawa Shaharuddin yang juga anak tempatan Tanjong Karang adalah calon terbaik untuk mencabar Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen tersebut.
 
Portal itu turut melaporkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR sedang mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin PAS negeri untuk parti Islam itu memberi laluan kepada PKR.
 
"Kerusi itu (Sungai Besar) adalah kerusi PAS, lama dah di sana dan Kuala Kangsar. Jadi perbincangan tak boleh hanya menjurus kepada Sungai Besar saja, ada kena mengena dengan Kuala Kangsar.
 
"Sungai Besar dan Kuala Kangsar tak boleh dipisah-pisahkan. Ia merupakan satu perbincangan menyeluruh, dan kita akui kedua-dua kawasan itu adalah tradisinya kawasan PAS. Jadi nak tak nak, perundingan perlu dibuat dengan PAS," ujar Shaharuddin yang juga Naib Presiden PKR.
 
Azmin pada Jumaat berkata tempoh rundingan masih panjang iaitu sehingga tarikh penamaan calon biarpun PAS berkali-kali menegaskan parti itu tidak akan melepaskan kerusi berkenaan.
 
PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kalah majoriti tipis kepada calon Umno Barisan Nasional (BN). 
 
Parlimen Sungai Besar terdiri daripada dua DUN iaitu Sungai Panjang (BN) dan Sekinchan (DAP).
 
Pengaruh besar yang dimiliki ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dikatakan menjadi antara faktor mengapa PKR mahu bertanding di Sungai Besar bagi memastikan Pakatan Harapan mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi itu.
 
"Faktor DAP itu tak boleh ditolak tepi, terutama faktor pengundi Cina kerana lebih kurang 30 peratus pengundi Sungai Besar merupakan pengundi Cina. Mahu tak mahu sensitiviti itu kena ada.
 
"Contohnya dalam pilihan raya umum yang lalu, memang pengundi Cina mengundi PAS, tapi melihat kepada trend-trend yang berlaku, kemungkinan sokongan diandaikan tidak berterusan. Sebab itu ramai berpandangan misal kata kalau PKR bertanding di situ, masih ada peluang untuk berjaya.
 
"Paling penting formulanya satu lawan satu," katanya.
 
PRK Sungai Besar ditetapkan diadakan pada 18 Jun depan, serentak dengan Kuala Kangsar.
 
 

Tiada ulasan: