shahbudindotcom
Kementerian Kewangan Diperbadankan yang memiliki 100 peratus saham 1MDB membuat beberapa keputusan semalam:-
-
memindahkan semua asetnya iaitu Bandar Malaysia, TRX City, tanah di
Air Hitam, Pulau Pinang dan Pulau Indah, Selangor daripada 1MDB kepada
Menteri Kewangan Diperbadankan.
- menukar rujukan Artikel 117 M & A 1MDB daripada memerlukan kelulusan "Perdana Menteri" kepada "Menteri Kewangan".
-
membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan bersetuju dengan tawaran
perletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 31 Mei, kecuali
kedudukan Arul Kanda Kandasamy selaku Presiden akan dikekalkan sehingga
notis selanjutnya dikeluarkan.
Dimaklumkan
juga bahawa keputusan itu diambil sebagai persetujuan terhadap
cadangan-cadangan yang terkandung dalam Laporan PAC yang dibentangkan di
Parlimen, baru-baru ini.
Betulkah
tindakan yang diambil Menteri Kewangan Diperbadankan itu kerana
bersetuju dan akur dengan syor PAC atau disebabkan faktor-faktor lain?
Aset
1MDB sebelum ini ialah janakuasa bebas dan empat keping tanah seperti
disebut di atas. Dengan aset janakuasa bebas sudah dijual keseluruhannya
kepada syarikat China dan empat harta itu pula akan diserahkan kepada
Menteri Kewangan Diperbadankan, bermakna selepas ini 1MDB akan menjadi
syarikat kosong atau domain sahaja.
Jadi, bagaimana ia mahu membayar hutang-hutangnya?
Apakah
pemindahan aset itu merupakan langkah pertama yang akan disusuli dengan
pemindahan keseluruhan hutang juga kepada Menteri Kewangan
Diperbadankan selepas ini?
Jika itu berlaku, apa jadi kepada 1MDB nanti? Adakah ia bakal ditutup dan hutangnya akan ditanggung oleh kita semua?
Menukar
rujukan dalam artikel 117 M & A daripada "Perdana Menteri" kepada
"Menteri Kewangan", sekali imbas tidak menampakkan apa-apa perbezaan
kerana kedua-dua jawatan itu dipegang oleh orang yang sama iaitu Najib.
Maknanya, jika Najib masih memegang kedua-dua jawatan itu, tiada apa-apa yang berbeza dari segi praktikalnya.
Tetapi,
apakah pertukaran itu merupakan tanda-tanda Najib mahu melepaskan
jawatan Menteri Kewangan dan beliau mahu "cuci tangan" daripada segala
beban 1MDB?
Siapa yang dipercayainya untuk dilantik ke jawatan tersebut?
Adakah
Tengku Razaleigh bakal dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk
membersihkan segala "kekotoran" yang ditinggalkannya berikutan Najib
sebelum ini lima atau enam kali mengadakan pertemuan dengan Ahli
Parlimen Gua Musang itu sebelum Deklarasi Kelantan ditandatangani?
Dengan
rujukan nama "Perdana Menteri" sudah dimansuhkan dalam artikel 117,
sudah tentu kaitan yang paling dekat ialah pembubaran Lembaga Penasihat
1MDB sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan
semalam.
Tiada
nama "Perdana Menteri" sebagai rujukan, bermakna keperluan Lembaga
Penasihat yang selama ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga tidak
wujud lagi.
Sekali lagi, ia memperlihatkan Najib benar-benar ingin "cuci tangan" dan bebas sepenuhnya daripada badi 1MDB.
Selepas
ini, Lembaga Pengarah yang baru akan dibebankan sepenuhnya untuk
menangani semua perkara berkaitan 1MDB, dengan seolah-olah Najib tidak
lagi terlibat dengan syarikat pelaburan tersebut.
Lihatlah nanti siapa bakal dilantik dalam susunan Lembaga Pengarah 1MDB itu?
Secara
keseluruhannya, tidak mustahil apa yang diputuskan oleh Menteri
Kewangan Diperbadankan ini adalah langkah pertama yang akan disusuli
langkah-langkah seterusnya untuk membebaskan Najib daripada segala
kekangan 1MDB dan orang lain pula akan memikul beban seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan