Rabu, 4 Mei 2016

SELASA YANG BERANI BAGI MUKHRIZ BERBANDING NAJIB

shahbudindotcom
 


 
 
Mukhriz Tun Mahathir akhirnya memfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad atas dakwaan memfitnahnya berhubung empat kenyataan media yang dikeluarkannya antara 15 hingga 26 April lalu.

Ia antaranya berkaitan dakwaan beliau berkomplot bersama Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah pimpinan Najib Razak serta menuduhnya semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.

Secara kebetulan, saman Mukhriz ini dikemukakan pada hari Selasa iaitu hari yang sepatutnya Najib mengemukakan saman kepada akhbar The Wall Street Journal berhubung dakwaan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya, tetapi masih tidak menjadi kenyataan sehingga hari ini.

Dengan ini, hari Selasa akan dikenang oleh rakyat Malaysia di mana seorang telah "berani"  tampil untuk menangkis fitnah terhadapnya, manakala seorang lagi mungkin kekal "pengecut"  sampai bila-bila.

Walau apa pun tafsiran mengenai saman Mukhriz itu dengan ada yang mengatakan "ia pertama kali orang politik menyaman setiausaha akhbar" serta "pertama kali juga orang menyaman kerana dituduh mahu menjadi Perdana Menteri", hakikatnya bekas Menteri Besar itu Kedah ada keberanian untuk mempertahankan apa yang diyakininya fitnah terhadap dirinya.

Soal saman ialah mempertahankan kebenaran. Hanya orang yang benar-benar yakin dengan kebenaran saja mampu berbuat demikian. Orang yang tidak yakin dengan kebenaran, sebaliknya hanya akan bercakap saja mahu mengambil tindakan undang-undang, tetapi tidak melaksanakannya.

Sebab itu, macam-macam saman kita pernah dengar, termasuk yang terbaru berkenaan pelanggan Starbuck yang mengemukakan saman kerana merasakan minuman yang dibelinya lebih banyak ais berbanding kopi.

Walaupun ada sesetengah saman kelihatan remeh, tetapi jika tuduhan berupa fitnah yang kecil dibiarkan begitu saja, ia akan berkembang menjadi besar dan mungkin tidak terkawal akhirnya.

Dituduh dengan dakwaan apa sekali pun kiranya tidak benar, pasti seseorang itu akan melawan mengikut kemampuannya. 

Dalam hal saman fitnah Mukhriz itu, adalah penting yang menuduh mengemukakan bukti-bukti bahawa anak Tun Mahathir itu benar-benar mahu menjadi Perdana Menteri, bukan sekadar berani menulis dan mengulang-ulang dalam kenyataan media saja.

Selebihnya, biarlah mahkamah menentukan keadilan tetapi sekurang-kurangnya dengan tidak gentar mengemukakan saman, persepsi kebenaran itu sudah pun memihak kepada Mukhriz berbanding Najib yang hanyangah bercakap mahu menyaman WSJ, tapi tidak juga menjadi kenyataan walau Selasa demi Selasa telah berlalu.
 
 
 

Tiada ulasan: