Sabtu, 14 Mei 2016

SALLEH, JANGAN CUBA MAHU 'MENGAJAR' AGONG, NANTI DIKATA 'KURANG AJAR'

shahbudindotcom




Kenapa agaknya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak kelihatan begitu gusar dan susah hati terhadap Deklarasi Rakyat yang akan dipersembahkan kepada Istana Negara dengan seolah-olah cuba mengingatkan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh memecat Perdana Menteri, Najib Razak?

Apakah rasa gusar dan susah hati itu bukan saja mengenai dirinya, tetapi juga mewakili masa depan Najib sama?





Apakah dengan mengingatkan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan Najib dipecat, Salleh sedang cuba "mengajar" Yang Dipertuan Agong  mengenai bidang kuasa baginda?

Apakah tidak dilihat "kurang ajar"  apabila seorang menteri yang hanya masuk kabinet melalui pintu belakang cuba berbuat demikian kepada Yang Dipertuan Agong yang dianggap payung kepada seluruh rakyat jelata?

Semalam, Tun Mahathir Mohamad yang mengetuai Deklarasi Rakyat mengumumkan sejumlah 1,271,997 tandatangan telah berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua bulan dan sedang menunggu tarikh untuk menghadap Yang Dipertuan Agong untuk menyerahkannya.

Dalam masa yang saja, pengumpulan tandatangan akan terus dikumpulkan dari semasa ke semasa sebagai membuktikan penolakan rakyat terhadap Najib turut tidak pernah berhenti selagi beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Tujuan deklarasi itu diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong ialah untuk mengulangi sejarah bagaimana Malayan Union juga ditolak oleh Raja-Raja setelah mendapat desakan yang kuat daripada rakyat.

Dalam kes Najib, walaupun tujuan deklarasi itu bertujuan mengundurkan Najib, tetapi tidak pernah pun sama ada Tun Mahathir atau sesiapa pernah menyebut mengenai perlunya Yang Dipertuan Agong memecat Perdana Menteri.

Yang dimahukan ialah Najib diundurkan.

Jadi, apa sebabnya yang Salleh terloncat-loncat gusar dan susah hati dengan kemungkinan pemecatan Najib setelah Yang Dipertuan Agong menerima timbunan tandatangan deklarasi itu?

Sesuatu yang harus Salleh sedar dan buka mata hatinya luas-luas ialah skandal kewangan berkaitan Najib ini sudah begitu memalukan negara di seluruh dunia sehingga ia bukan saja diperkatakan olah sesiapa saja di semua penjuru alam, bahkan kerananya juga negara kita dikaitkan dengan imej rasuah yang begitu memalukan.

Dalam masa yang sama, beberapa Sultan dan Raja juga semakin kerap bercakap mengenai bahaya dan bahana rasuah sejak timbulnya isu berkaitan Najib itu.

Tidakkah ini menunjukkan Raja dan Sultan kita juga turut prihatin dengan apa yang sedang berlaku dalam negara?

Jika demikian, setelah menerima bukti penolakan rakyat dari semasa ke semasa yang semakin besar nanti, apakah tidak mustahil jika Yang Dipertuan Agong memberi teguran kepada Najib atau membawa hal berkaitan deklarasi itu kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan?



Bukankah sebelum ini Majlis Raja-Raja buat pertama kali pernah mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB yang jelas memberi gambaran keprihatinan yang mewakili keresahan rakyat jelata?

Jika Yang Dipertuan Agong tidak berhak memecat, apakah tidak boleh baginda menasihatkan Najib agar berundur atau meletakkan jawatan secara baik berikutan perlakuannya berkaitan skandal kewangan terlalu mencemar imej negara dan bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat?

Apa-apa tindakan yang bakal dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong atau Majlis Raja-Raja, tidak perlulah Salleh cuba "mengajarnya".  Baginda ada kebijaksanaannya sendiri.

Kalau pun juga tidak memecat, tetapi Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebenarnya ada banyak cara untuk berbuat sesuatu yang menggambarkan pihak istana bersama rakyat jelata dan turut tidak gembira dengan kepimpinan serta tingkah laku Najib sebagai Perdana Menteri.

Jika Salleh ingin lebih memahaminya, rajin-rajinlah menyelak helaian sejarah bagaimana di masa lalu ada Menteri Besar tiba-tiba berhenti di tengah-tengah perkhidmatan, ada yang ditolak setelah dinamakan, ditarik gelaran dan bermacam-macam lagi yang semuanya memberi isyarat peneraju kuasa tidaklah semata-mata boleh dijatuhkan dengan pilihanraya atau melalui undi sahaja. 





Tiada ulasan: