Rabu, 4 Mei 2016

'Saingan sebenar PAS di Sarawak hanya dengan BN'

MALAYSIAKINI




PAS mempunyai peluang kemenangan di Sarawak termasuk di DUN yang mempunyai komposisi pengundi Iban dan Cina yang ramai, kata Pengarah Jentera Operasi PAS bagi pilihan raya negeri Sarawak, Dr Wan Nik Wan Yussuf.

Katanya, PAS meletakkan harapan tinggi untuk melahirkan anak sulung terutama di DUN yang pernah ditandinginya seperti DUN Beting Maro, Sebuyau dan Sadong Jaya.

"Hasil perkembangan politik terkini melibatkan masyarakat Iban dan Cina, nampaknya kempen PAS turut diterima baik seperti di Pujut, Lambir dan Samalaju.

"Maka harapannya PAS akan membuat kejutan di DUN ini," katanya dalam satu temubual disiarkan Harakahdaily hari ini.

Menurut Wan Nik, dalam 11 DUN yang ditandingi PAS, kesemua kerusi itu berdepan saingan tiga atau lebih penjuru, kecuali di Pantai Damai yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN.

"Apa pun, persaingan sebenar PAS hanya dengan BN. Penglibatan parti ketiga dan keempat mahupun yang kelima dilihat kurang terserlah. Sebagaimana berlaku di lima DUN, PAS berdepan dengan PAN (AMANAH) di Muara Tuang, Samariang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

"Kita dapati kempennya tidak bersifat sebenar. PAS berdepan hanya dengan kempen sebenar dengan BN. Maka nampaknya semacam PAS dengan BN yang bertanding," katanya dalam temubual itu.

Dalam pilihan raya negeri itu, PAS meletakkan 11 calon di Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Samalaju, Jepak, Pujut dan Lambir.

Parti Islam itu dijangka berpeluang mendapat anak sulungnya di DUN Beting Maro yang memiliki 10,528 pengundi yang majoritinya terdiri daripada pengundi Melayu dan Melanau.

Wan Nik berkata, hubungan sesama komponen BN yang dilihat 'tidak ngam' di beberapa buah kerusi dan pertelagahan antara PKR dan DAP dilihat memberi kelebihan buat PAS.

"Contohnya di DUN Pujut, parti SUPP tidak dipilih sebagai calon BN, yang dipilih ialah calon langsung BN menyebabkan SUPP terkilan.

"DAP dan PKR pula hampir senada dalam membangkitkan isu-isu ekonomi dan penyelewengan kerajaan BN atau PM.

"Tetapi jarang DAP dan PKR dilihat sepentas kerana mereka telah bertelagah sejak awal dalam isu perebutan kerusi untuk bertanding.

"Kesemua gelagat parti-parti pesaing itu berlaku di DUN yang PAS bertanding. Kita harap ia akan memberi kelebihan kepada PAS," katanya.

Jawab kempen burukkan PAS

Bagaimanapun Wan Nik berkata, PAS tidak memandang kecil penyertaan AMANAH kerana sedar tujuan parti itu adalah untuk memecah belahkan undinya.

"Maka jentera kempen kita diarahkan juga membuat tindakan sewajarnya bagi menjawab isu-isu kempen mereka yang banyak memburukkan PAS.

"Demikian pula di DUN yang PAS berdepan dengan DAP dan PKR terutamanya di sebelah zon utara.

"Kita gunakan pendekatan kesejahteraan dan perpaduan kaum dengan menggerakkan pasukan kempen calon dan DHPP dapat memenuhi lebih ramai pengundi Cina dan Iban, selain berusaha keras untuk memecahkan benteng BN di kawasan pengundi Melayu," ujarnya.


Tiada ulasan: