Selasa, 17 Mei 2016

RTM tidak lagi minat siar debat 1MDB

Kow Gah Chie

 


RTM tidak lagi berminat untuk menyiarkan debat secara langsung antara ahli parlimen DAP, Tony Pua dengan boss 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Kita tidak berminat ekoran penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara telah selesai. Jika ada sesiapa yang berminat untuk berdebat, mereka boleh berbuat demikian di Parlimen.

"Apa yang sedang berlaku sekarang adalah lebih kepada pertikaian perniagaan antara 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC)," Salleh beritahu wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Salleh, bagaimanapun, berkata stesen TV lain bebas untuk menganjurkan debat berkenaan jika berminat.

Terdahulu, Pua menzahirkan hasrat beliau untuk berdebat dengan Arul Kanda, sama ada di RTM atau TV3, secepat yang boleh.

Arul telah menghubunginya untuk membuat pengendalian sewajarnya bagi menjayakan acara tersebut, kata Pua yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara.

"Beliau telah menugaskan Ketua Komunikasi 1MDB, Robert Ho untuk mengepalai perbincangan tentang format dan struktur debat atau rancangan bual bicara tersebut," jelas Pua.

Bagi pihak DAP, ahli parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ong Kian Ming akan mengatur serta memuktamadkan butiran pengendaliannya, kata Pua lagi.

Pua, yang turut menganggotai PAC memperbaharui cabarannya untuk berdebat dengan Arul Kanda pada 14 April selepas PAC menerbitkan lapora 1MDB.

Cabaran awal telah disekat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana PAC belum memuktamadkan siasatanya dalam 1MDB.


Tiada ulasan: