Selasa, 3 Mei 2016

PKR tolak janji kosong Adenan untuk pendidikan

MALAYSIAKINI




PKR Sarawak menolak janji pilihan raya oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri itu dengan menyatakan masih ramai pelajar luar bandar belajar di "sekolah usang".

Ketua PKR negeri Baru Bian berkata kerajaan BN di Sarawak tidak berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan walaupun berbilion ringgit dibelanjakan untuk pendidikan.

"Selepas berdekad pemerintahan BN, pelajar luar bandar kita masih diajar di sekolah-sekolah usang, ramai daripada mereka (belajar) tanpa elektrik atau bekalan air.

"Kerajaan tidak dapat menawarkan generasi muda dengan kemudahan asas di sekolah rendah, namun BN tidak malu untuk terus membuat janji yang sama selepas pilihan raya," kata Baru dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memetik laporan Ketua Audit Negara 2014 yang menyatakan bahawa lapan daripada 10 buah sekolah Sarawak berada dalam keadaan rosak dan kanak-kanak sekolah belajar di bangunan yang dipenuhi anai-anai serta sistem kumbahan yang bocor.

Beliau juga menekankan Pelan Pembangunan Pendidikan Kerajaan Persekutuan 2013-2025 yang menyatakan bahawa "pembaikan dan naik taraf akan disiapkan di semua 1,608 sekolah yang mempunyai keperluan kritikal" di negeri ini.

Beliau mendakwa keadaan tidak banyak berubah pada 2016 dengan merujuk kawasannya di Ba 'Kelalan di mana 11 daripada 12 buah sekolah masih dalam keadaan rosak.

"SK Ba'Kelalan, SK Long Luping dan SK Long Sukang masih bergantung kepada generator lama untuk bekalan elektrik dan SK Long Sebangang mengalami kekurangan air.

"Dua bidang tanah di Long Semadoh telah diperolehi secara rasmi pada tahun 2003 untuk membina SK Long Semadoh dan SMK Long Semadoh tetapi sehingga hari ini, tiada tanda-tanda bahawa sekolah-sekolah ini akan dibina," kata Baru.

Beliau berkata pelan tindakan pendidikan menunjukkan Sarawak menjadi negeri kedua terakhir dalam pencapaian peperiksaan UPSR dan SPM pada tahun 2011.

"Di Sarawak, ia bukan sesuatu yang luar biasa apabila kanak-kanak mula sekolah rendah tanpa terlebih dahulu menghadiri prasekolah. Saya dimaklumkan bahawa di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), kurang daripada separuh pelajar dari Sarawak.

"Mengapa tidak ada lebih ramai pelajar tempatan mendapat pendidikan di sana?" soalnya.

Beliau menggesa kerajaan pimpinan BN menubuhkan prasekolah di kawasan luar bandar, membina sekolah berasrama moden dengan kemudahan yang selesa dan membuka lebih banyak kolej latihan vokasional dan kemahiran.

"Generasi muda kita patut mendapat lebih daripada sekolah-sekolah usang sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata jika kerajaan pimpinan BN tidak dapat melakukan tugas dengan baik, beliau berjanji akan melakukan perubahan jika pembangkang diberikan mandat yang lebih besar sekiranya diberi peluang memerintah.


Tiada ulasan: