Sabtu, 14 Mei 2016

PKR mahu elak berlaku pertandingan tiga penjuru di Sg Besar, Kuala Kangsar

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seboleh-bolehnya PKR tidak mahu berlaku perebutan kerusi antara pembangkang pilihan raya kecil (PRK) di Sg Besar dan Kuala Kangsar seperti mana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
 
Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berkata sekiranya perkara itu berlaku, ia akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
 
“Kami tidak mahu ada persaingan untuk kerusi kerana apabila ada perlawanan tiga penjuru, maka kerusi itu jatuh ke tangan Barisan Nasional.
 
“Saya rasa ini juga pendirian yang akan diambil dalam mesyuarat PH nanti,” kata Nurul Izzah di karnival Ibu Tunggal di Lembah Pantai di sini, hari ini.
 
Justeru katanya, perbincangan mengenai perletakan calon di kerusi-kerusi itu masih lagi berjalan.
 
“Perbincangan mengenai dua kerusi masih berjalan, tidak akan ada kompromi terhadap komitmen yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan,” katanya.
 
Katanya lagi, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sendiri telah mengambil inisiatif untuk membincangkan perkara itu dengan semua pihak sebelum tampil dengan kenyataan rasmi berhubung calon yang akan diletakkan di kedua-dua kawasan tersebut.
 
Berkenaan hakikat bahawa kedua-dua kerusi itu secara tradisinya milik PAS, Nurul Izzah berkata beliau menghargai pendirian PAS dalam mengeluarkan perintah larangan sementara menanti tamatnya perbincangan rasmi mengenai pilihan raya kecil.
 
Semalam, PAS mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin dan ahli-ahlinya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pemilihan calon sebaliknya ia akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat parti.
 
PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian wakil Parlimennya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sarawak minggu lalu.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon dan pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil ialah 5 Jun dan 18 Jun masing-masing.
 
 

Tiada ulasan: