Isnin, 9 Mei 2016

Pilihan Raya Sarawak PAS berjaya tanam 13,176 benih di 11 Dun Sarawak



 

Oleh Nazmi Nik Din


Subhanallah walhamdulillah dan tahniah kepada seluruh jentera PAS yang telah bertungkus lumus turun membantu calon PAS di 11 Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam PRN yang baru sahaja berakhir semalam.

Ini adalah kali pertama PAS turun dengan kekuatannya yang tersendiri tanpa bantuan daripada mana-mana parti lain untuk berhadapan dengan BN.

Keputusan yang kita saksikan semalam sangat mengujakan seluruh pencinta dan pendukung gerakan Islam kerana ianya telah memberikan isyarat yang positif terhadap masa depan PAS yang lebih subur.

Siapa sangka PAS yang sebelum ini yang banyak ditempelak sebagai parti yang tidak akan diterima di Sarawak, akhirnya secara diam-diam disokong oleh 13,176 benih pengundi yang mahukan misi dan visi PAS menjadi realiti.

Kami yakin 13,176 pengundi ini akan terus membuahkan benih-benih yang baharu yang akan menyuburkan lagi nur Islam di bumi Sarawak.

Berdasarkan pemerhatian sepanjang berada di Sarawak baru-baru ini, Sarawak sememangnya bumi yang sangat subur terhadap perjuangan Islam PAS.

Rakyatnya yang ramah dan berbudi bahasa mengingatkan kita kepada masyarakat Madinah yang menerima kehadiran Islam yang dimulai dengan sekelompok tertentu yang melakukan perjanjian untuk membawa Islam ke Madinah. Akhirnya Islam tersebar luas di bumi berkat tersebut.

Rasulullah s.a.w bersabda kepada Saidina Ali k.w dalam satu hadis yang sahih:

فوالله لأن يهدي الله بك رجلا خير لك من أن يكون لك حمر النعم

Demi Allah seseorang yang berjaya memberikan hidayat kepada seorang lelaki, ianya adalah jauh lebih baik daripada memiliki seekor unta merah (sebaik-baik kenderaan).

Beruntunglah mereka yang berjaya mencampakkan 13,176 benih di Sarawak.

Suatu perniagaan yang pasti tidak akan merugikan sama sekali. Semoga dikurniakan keampunan dan ganjaran yang maha hebat di akhirat kelak. Amin Ya Rabb Al 'alamin.

*  Nazmi Nik Din, Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan ,AJK Dewan Ulamak PAS Pusat 
  

Tiada ulasan: