Khamis, 19 Mei 2016

Pilihan Raya Kecil : Teruskan perjuangan PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar




 
Oleh USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB


UMUM mengetahui sejarah penglibatan PAS dalam pilihan raya di Malaysia. Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kerusi tradisi yang ditandingi oleh PAS. Sekalipun tidak mencatatkan kemenangan, namun jumlah undi yang diperloleh mencatatkan perubahan yang bertambah baik dari edisi ke edisi.

Tindakan menasihatkan PAS supaya tidak bertanding, samalah seperti menasihatkan seorang ustaz supaya tidak lagi menyampaikan ceramahnya. Sama seperti tindakan menasihatkan seorang anggota polis berhenti dari mencegah jenayah.

Sedangkan PAS telah sekian lama memilih pilihan raya sebagai wadah untuk menyampaikan Islam dan menegakkan Islam sebagai cara hidup perlembagaan seluruh rakyat Malaysia. PAS yakin bahawa hanya dengan Islam dapat menyelesaikan segala masalah yang sedang membelenggu negara kita pada ketika ini.

PAS akan tetap melibatkan diri secara aktif dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar mahupun Sungai Besar. DAP yang telah lebih awal memutuskan hubungan dengan PAS, malah bertindak mencampuri urusan dalam PAS sejak beberapa tahun, sepatutnya sedar bahawa mereka telah jauh tersasar dan melampaui batas.

Begitu juga parti serpihan PAS, PAN yang berhasrat bertanding malah cuba menafikan hak PAS untuk bertanding melalui lidah-lidah pemimpin mereka dan sekutu mereka. Perlu diingat, bahawa Pas bukanlah rakan dalam Pakatan Harapan, justeru apa-apa keputusan yang dibuat oleh PAS sepatutnya tidak berkait dengan keputusan PH, dan begitu juga sebaliknya.

Walaupun PAS dituduh dengan pelbagai tuduhan liar dan tidak munasabah oleh PAN dalam Pilihan Raya Kecil kali ini, kononnya tidak matang, degil dan sebagainya, namun apa yang ingin dilakukan oleh PAS hanyalah meneruskan perjuangan menyertai dan melakukan yang terbaik dalam pilihan raya tidak kira di kawasan mana sekalipun.

Inilah yang telah, sedang dan akan diteruskan oleh PAS. PAS tidak wajar berundur hanya kerana desakan rakan yang telah berkerat rotan, apalagi serpihan yang mengkhianati setiap kerusi dan aset PAS yang telah dibawa lari.

Jika benar mahu memfokuskan terhadap menjatuhkan Umno dan BN, maka tindakan sekarang bukanlah bersikap keanak-anakkan, sebaliknya meneruskan gerak kerja menghadapi pilihan raya. Sama ada ingin membantu memenangkan PAS atau ingin menyaingi PAS, terserah kepada PAN.

Saya menasihatkan seluruh jentera PAS Negeri Perak supaya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan dalam apa juga keputusan, dan terus melipatgandakan usaha untuk memenangi pilihan raya kali ini. Persiapkan seluruh jentera, kejutkan semua ahli, ayuh bersama turun ke medan. Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang penting kerana ini bakal menjadi pilihan raya kecil terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Semoga Allah memimpin dan memberikan petunjuk kepada kita, dan menjadikan kita asbab petunjuk manusia seluruhnya, memudahkan urusan, dan memenangkan Islam yang kita dokongi bersama.

* USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB, Timbalan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Perak

Tiada ulasan: