Rabu, 11 Mei 2016

PH adakan mesyuarat khas PRN Sarawak, mantap organisasi menuju PRU 14

Oleh Nadia Hanafi


PETALING JAYA : Majlis Presiden Pakatan Harapan menetapkan satu penilaian tulus ikhlas dilakukan dan akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk mengenalpasti kesalahan dan mengatasi kekurangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu.

Wawi baruPerkara tersebut dinyatakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media petang ini bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan yang lain di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.

Selain itu katanya, mereka juga akan mengambil langkah yang perlu untuk memperbetulkan dan memperbaiki organisasi serta strategi khusus berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Wan Azizah, ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan (KEADILAN, DAP, Amanah) telah memulakan post-mortem pada peringkat parti masing-masing.

“Perjuangan menegakkan kebebasan, kebenaran dan keadilan serta melaksanakan perubahan bukanlah mudah. Di sebalik segala cabaran yang dihadapi, kami tidak akan berputus asa.

“Sebaliknya, kami bertekad untuk berkumpul (re-group) dan memfokus semula (re-focus) serta meningkatkan iltizam untuk meneruskan perjuangan ini demi rakyat Malaysia,” katanya.

Pakatan Harapan melalui Majlis Presidennya yang bermesyuarat sebelum itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang mengundi calon-calon Pakatan Harapan dalam PRN 7 Mei lepas.

“Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli parti, penyokong dan sukarelawan yang bekerja keras dan bertungkus lumus membantu calon-calon kami,” kata Wan Azizah.

Pada masa sama, Wan Azizah juga berkata, kelemahan semasa PRN Sarawak memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

“Kami mendengar segala pandangan, keluhan dan kritikan daripada rakyat, pengundi, pekerja parti, penyokong, sukarelawan, calon dan pimpinan serta pelbagai pihak lain tentang persediaan, perjalanan dan prestasi kami dalam pilihan raya ini,” katanya.

Hadir sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sarawak,Dr Xavier Jayakumar.

Selain itu, Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Tian Chua, serta Teresa Kok mewakili DAP.

Tiada ulasan: