Rabu, 11 Mei 2016

Pemimpin PKR 'membisu' tentang PRK kerusi Parlimen

Alyaa Alhadjri

 


Pemimpin PKR 'membisu' mengenai rancangan parti itu untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan datang.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabatnya malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sesebuah parti politik sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Kami sudah bersedia. Kami adalah parti politik, kami sentiasa sedia untuk pilihan raya," kata Wan Azizah sejurus selepas tengah malam tadi.

Ditanya lanjut mengenai perkara itu, beliau enggan mengulas lanjut, sebagai menghormati Allahyarham MP Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan MP Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini, yang membawa kepada pilihan raya kecil itu bakal diadakan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengambil pendirian yang sama apabila diminta mengulas mengenai hasrat parti PAS untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
"Saya tak tahu (yang PAS mahu bertanding). Tarikhnya belum ditetapkan lagi.

"Kami akan tunggu dan lihat. Suruhanjaya Pilihan Raya hanya akan mengumumkan (tarikh pilihan raya) pada hari Jumaat bukan?" kata menteri besar Selangor yang juga MP Gombak itu.

SPR dalam satu kenyataan semalam mengesahkan menerima notis kekosongan dua kerusi berkenaan dan berkata ia akan bermesyuarat pada hari Jumaat untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan kedua-dua PRK tersebut.

Ditanya sama ada kesan pertembungan antara PKR dan DAP di Sarawak akan melimpah ke pilihan raya kecil itu, Azmin berkata, beliau yakin para pemimpin dalam Pakatan Harapan, dan juga PAS, akan mempunyai kerendahan hati untuk mendengar suara rakyat.

"Sebagai pemimpin, kita perlu ada keberanian untuk duduk dan berbincang dan bergerak ke hadapan."

Azmin, selepas pilihan raya negeri Sarawak, telah menggesa semua pihak pembangkang termasuk PAS, merapatkan barisan dan bekerjasama sebagai satu pasukan menentang BN.

PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP dan digantikan dalam gabungan Pakatan Harapan oleh parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pada hari Isnin bahawa parti itu akan bertanding di pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kerana ia telah bertanding di situ semasa pilihan raya umum ke-13 ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini.

Sementara itu, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata parti itu hanya akan mengumumkan keputusannya pada 15 Mei.

Isu-isu berkaitan pilihan raya negeri Sarawak dan mengenai kedua-dua pilihan raya kecil itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Tiada ulasan: