Ahad, 29 Mei 2016

Pas tidak akan hilang arah


    

 
DETIK DAILY


PAS berdepan pelbagai cabaran sejak pemilihan muktamar lalu yang menyaksikan berlakunya ‘pembersihan’ dalam parti itu, di mana Pas kini sinonim dengan golongan ulama, sehingga ada yang melabel Pas terbelakang kerana diterajui ulama.

Selepas tidak lagi bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Pas dilihat bersendirian sebelum memeterai kerjasama dengan Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), 16 Mac lalu, mewujudkan pakatan blok ketiga. 
 
Timbul desas-desus parti Islam itu tidak lagi relevan dengan politik semasa selain lebih banyak mengambil pendekatan ‘selamat’ apabila tidak menunjukkan permusuhan dengan musuh politik tradisinya, BN.

Ini menyebabkan Pas dicemuh cuba menjalin hubungan dengan Umno sehingga ramai keliru dengan pendirian Pas. Namun Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi bertegas, Pas tidak hilang arah walaupun mengalami perubahan dari semasa ke semasa.

ROSLINDA HASHIM mengupas intipati Pas Kedah berdepan agenda Muktamar Tahunan Pas ke-62 yang diadakan 1-3 Jun, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu.

Adakah muktamar merupakan medan melahirkan idea dan pandangan atau sekadar menerima bulat-bulat amanat disampaikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Muktamar Pas Pusat adalah medan untuk perwakilan mewakili kawasan masing-masing memberikan pandangan dan isu yang dirasakan perlu dibawa ke peringkat tertinggi. Ini termasuk buah fikiran yang mampu mengukuhkan kedudukan parti di semua peringkat. Perwakilan bermesyuarat mengikut skop ditentukan dalam perlembagaan Pas.

Kita bukan terima bulat-bulat, disebabkan itu ada sesi membahas ucapan dasar Presiden, di mana setiap negeri menghantar wakilnya, Pas Kedah diketuai Timbalan Pesuruhjaya Pas II, Datuk Najmi Ahmad.

Apakah usul dibawa Pas Kedah ke muktamar kali ini?

Pas Kedah tidak menapis sebarang usul dibawa Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama yang diputuskan dalam muktamar masing-masing. Malah usul yang diluluskan pun saya tidak tahu, kerana mereka berhak kemukakan usul yang difikirkan penting dan menjadi keutamaan.

Sayap parti ini diberi keistimewaan bawa usul secara langsung, Pas negeri tiada hak semak atau tapis, tidak boleh kacau daun! Inilah kelebihan Pas amalkan suara demokrasi dalam parti tanpa sekatan, yang termaktub dalam perlembagaan. Usul yang dikumpulkan dilihat jawatankuasa tapisan usul sama ada diterima atau ditolak untuk dibahas.

Walaupun muktamar kali ini lebih tenang berikutan tiada pemilihan jawatan, apa harapan Pas Kedah terhadap muktamar ini?

Gunakan kesempatan ini untuk mendengar amanat Presiden berhubung langkah-langkah politik dan perkara yang menyentuh asas perjuangan dan sumber rujukan, kerana intipati inilah yang sering diulang beliau. Muktamar juga adalah landasan untuk perwakilan dan pemerhati melunaskan persoalan.

Saya percaya muktamar ini juga dijadikan medan untuk kupas pendekatan baharu yang akan diperjelas secara terperinci oleh Presiden, huraian ilmiah berhubung ‘budaya politik matang sejahtera’ termasuk pakatan blok ketiga. Perlu diingat perwakilan kali ini adalah petugas PRU14, yang akan laksana tanggung jawab mengukuhkan jentera dan ukhuwah.
 
Apa dimaksudkan dengan ‘budaya politik matang sejahtera’?
Konsep dibawa Pas pusat ini dijangka menjadi intipati ucapan Presiden untuk dibahaskan. Pimpinan Pusat telah turun ke negeri-negeri untuk huraian kaedah ini. Pas kini menjadi peneraju dalam perubahan paradigma politik melalui pendekatan politik matang dan sejahtera berasaskan syarak dengan berpandukan al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulama dan qiyas.

Politik Islam dibawa Pas berteraskan ketakwaan dan berbeza dengan politik perkauman yang diamalkan di Malaysia selama ini, di mana dipenuhi emosi, pembohongan, permusuhan, fitnah, retorik dan persepsi. Ini antara transformasi Pas mendepani cabaran, perjuangan dan persekitaran politik masa kini.
 
Pas kini dikatakan ‘bersih’ daripada golongan progresif yang mahukan modifikasi dalam 
tatacara perjuangan Pas pada pemilihan lalu. Muktamar ini, Pas dibarisi kumpulan konservatif atau ulama yang menjadi tunjang sejak sekian lama, kumpulan progresif pula sudah meninggalkan Pas, adakah ini menjadikan Pas terbelakang?
Sengaja ditimbulkan persepsi sebegitu, seolah Pas sudah tiada apa-apa, sedangkan Pas sentiasa progresif ke hadapan. Pas sentiasa berfikiran ke hadapan, sebab itulah kita adakan alternatif baharu antaranya budaya politik matang sejahtera.

Ada yang cakap keluar semua (progresif) habis lah Pas! Itu hipotesis palsu! Siapa sahaja yang keluar masuk, Pas tetap relevan dengan politik semasa. Semua pihak berikan pandangan, fokus perkara yang perlu ditegah, bangkang isu tidak relevan, inilah pemikiran politik yang kita bawa, jika ada pihak hanya lihat satu sudut sahaja, mereka itulah berfikiran sempit.

Parti politik sepatutnya menjadi fasilitator kepada rakyat, berikan pendidikan politik dan sebolehnya tidak meletakkan arah pendidikan hanya dua blok, sebaliknya membantu percambahan minda rakyat. Biar rakyat putuskan pilihan mereka. Jika kita masih lagi lihat kuasa melebihi pendidikan, sampai bila pun rakyat tiada kesedaran. Ahli politik harus ada usaha mendidik rakyat.
 
Pas didakwa mahu bersendirian sebagai pembangkang, setelah tidak lagi bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat. Seterusnya membentuk pakatan blok ketiga bersama Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), 16 Mac lalu. Mampukah Pas bersendirian?
Ini satu lagi persepsi yang sengaja ditimbulkan seolah Pas bersendirian. Kita ambil pendekatan tubuhkan blok ketiga untuk beri peluang kepada parti yang boleh terima pendekatan Pas. Berpisahnya Pas dengan DAP kerana konsep awal ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’, dari situ bermulanya bibit perpecahan kerana mereka tidak boleh terima konsep itu, menyebabkan Pas dilihat sebegitu.

Namun hubungan dengan PKR masih terjalin, cuma kurang pasti pendirian mereka. Ikatan rakan kerjasama pertama bawah blok ketiga, saya yakin tahun akan datang akan ada kekuatan lain sertai kami.

Pelbagai perubahan berlaku dalam Pas, adakah Pas masih tercari-cari arah menjelang PRU14?
Perubahan antara pendidikan politik kepada rakyat, Pas sentiasa turun padang memperjelas isu dan kukuhkan jentera di akar umbi. Kita tidak bergantung pada arah angin. Kita jumpa akar umbi demi kelangsungan Pas. Ingin ditegaskan, Pas tidak hilang arah walau tidak lagi bergandingan dengan DAP/PKR.

Kami ada kekuatan sendiri untuk bergerak seiring perubahan zaman/politik. Ada perkara boleh berubah, ada statik. Pendekatan kita ikut suasana semasa dan penerimaan rakyat. Kebijaksanaan pimpinan perlu ada untuk yakinkan rakyat bahawa Pas bukan parti sempit, sebaliknya berfikiran luas.


Tiada ulasan: