Isnin, 9 Mei 2016

PAS optimis perbaiki prestasi pada pilihan raya akan datang - Mukhtar

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mesej PAS 'for all' mengambil masa untuk diterima oleh rakyat Sarawak kerana landskap politik di negeri itu berbeza berbanding Semenanjung, kata Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili.
 
Katanya, walaupun PAS tidak memenangi sebarang kerusi DUN sejak 20 tahun bertapak di negeri itu namun tetap optimis dalam memberi pemahaman tersebut dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
 
"Kita faham dari segi politik Sarawak ini yang sedikit dinamik berbanding dengan Semenanjung maka PAS memang sebenarnya daripada awal lagi strategi kita adalah untuk membawa mesej bahawa PAS ini adil untuk semua.
 
"Mesej ini mungkin akan mengambil masa untuk diterima tapi kita optimis dan kita berkeyakinan bahawa ia boleh diterapkan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jariee berkata tindakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang menghalang pemimpin-pemimpin tertentu tidak kira daripada pembangkang mahu kerajaan dikatakan menjadi punca PAS tidak memenangi sebarang kerusi di Sarawak.
 
Menurut Jofri,  disebabkan tindakan itu PAS di Sarawak tidak mendapat bantuan sepenuhnya dari kepimpinan pusat.
 
"Cuma kebanyakkan mereka yang menyokong kita (PAS) ramai diantara mereka tidak mendaftar mengundi di kawasan PAS, ini mungkin antara faktornya.
 
"Adenan juga merupakan faktor (kekalahan PAS) seperti adanya sekatan imigresen yang menghalang PAS semenanjung datang memberi bantuan dari segi gerak kerja kempen kami di Sarawak," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Sebelum ini media melaporkan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dilarang daripada memasuki negeri itu.
 
Selain beliau, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan Tantawi, dan Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi diminta keluar pada 5 Mei dari Bumi Kenyalang itu. 
 
PAS tewas di semua kerusi yang ditandingi, iaitu Samariang, Pantai Damai, Muara Kuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Benteng Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.
 
 

Tiada ulasan: