Rabu, 4 Mei 2016

Pantau kebakaran guna dron


OLEH: NAZLI IBRAHIM


Empat bulan pertama 2016 menyaksikan hampir semua Stesen Meteorologi di Malaysia mencatatkan rekod baru suhu tertinggi berbanding paras purata sebelum ini.

Antaranya, Stesen Meteorologi Prai mencatatkan 37.4 darjah celcius (°C ) mengatasi rekod 36.9°C, pada 7 April 2015; Pulau Langkawi pula 38.0°C , berbanding rekod 37.5°C pada 13 April 2002 serta 14 dan 17 Mac 2005.

Manakala Batu pula, suhu tertinggi yang dicatatkan 38.5°C melebihi rekod 38.1°C pada 10 dan 11 April 1998 dan Keningau iaitu 37.5°C berbanding 36.6°C (9 Mac 2010), manakala Stesen Meteorologi Alor Setar merekodkan suhu tertinggi 39.1°C menyamai rekod, pada 27 Mac 1998.

IMG_2025Selain kepanasan melampau, keadaan ini turut menjadi penyumbang utama kepada peningkatan risiko kebakaran hutan termasuk di Selangor.

Walaupun sepatutnya pemanasan melampau yang berlaku ini menjadikan kebakaran hutan lebih dahsyat berbanding tahun sebelumnya, namun Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan dibantu pelbagai agensi lain berjaya mengurangkan keluasan kebakaran hutan daripada 1,806 hektar pada 2014 kepada 191 hektar tahun ini atau pengurangan 89.41 peratus.

Bagi mengetahui rahsia kejayaan ini, Wartawan Kanan SelangorKini, NAZLI IBRAHIM, mewawancara Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Dr Mohd Puat Dahalan di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, baru-baru ini.

SelangorKini:Boleh Dr ceritakan mengenai kebakaran hutan pada musim El Nino kali ini dan adakah keadaan kali ini lebih teruk atau lebih terkawal berbanding tahun lalu?

Dr Puat:Terima kasih kerana mengadakan wawancara seperti ini yang sangat tepat pada masanya supaya saya boleh berikan gambaran lebih jelas mengenai kebakaran hutan paya gambut di Selangor. Pada tahun ini, kita ada beberapa ‘compartment’ atau petak yang terlibat antaranya petak 32, 99, 100, 101 dan 102 di Hutan Simpan Raja Musa dengan anggaran 150 hektar.

Kita juga berhadapan kebakaran di Hutan Simpan Sungai Karang di petak tiga melibatkan satu hektar tetapi dapat dikawal dengan cepat dan di hutan paya gambut lain pula, petak 13, 17 dan 24 iaitu di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dengan keluasan 31 hektar. Secara keseluruhannya 182 hektar, bermakna tidak sampai 190 hektar.

Menjawab soalan tadi, bagi tahun 2016 persediaan kita kali ini sangat berkesan khususnya disebabkan pengalaman dan persediaan sebelum ini di bawah seliaan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor yang ditubuhkan di bawah Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sejak kejadian awal berlaku yang dikesan, pada 20 Mac lalu. Kita dapat menyelaraskan tindakan bersepadu dengan begitu cepat.

Kita menggunakan kaedah terkini dengan pemantauan lebih tepat menggunakan pesawat dron yang dibekalkan Unit Pengurusan Bencana Negeri.

Dengan menggunakan dron, kita dapat memberi lokasi kebakaran dengan lebih tepat, tindakan pemadaman semua agensi terlibat termasuk bomba, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pentadbir Tanah Daerah, Sahabat Gambut di utara Selangor termasuk badan bukan kerajaan (NGO). Dengan adanya usaha bersepadu pelbagai pihak yang cekap ini, kita dapat kawal kebakaran merebak daripada menjadi lebih luas.

SelangorKini:Tadi Dr ada menyebut penggunaan dron. Boleh Dr ulas lebih lanjut?

Dr Puat:Penggunaan dron memberikan kita ‘real time data’. Bila terbangkan dron, kita dapat memantau sejauh lima kilometer. Kalau dalam hutan, lima kilometer ini dianggap jauh sebab tinjauan biasa mungkin mengambil masa sehingga dua hingga tiga jam atau mungkin lebih ditambah dengan bahaya berhadapan kebakaran hutan dan sebagainya.

Bila kita hantar dron, tak sampai beberapa minit dah sampai ke lokasi dan boleh hantar isyarat gambar masa sebenar, lokasi lebih tepat, gambaran keadaan kebakaran dan seterusnya kita dapat putuskan selepas melihat skala kebakaran itu bentuk tindakan bagaimana yang perlu diambil.

Selain itu, dron turut membekalkan data keadaan persekitaran lokasi kebakaran itu seperti adakah berhampiran kolam, adakah terdapat sumber air atau kawasan berhampiran juga kering. Maklumat dibekalkan dron ini dapat kita selaraskan tindakan lebih cepat, tepat dan baik.

Bagi pihak jabatan, kita cuba usaha untuk dapatkan dron sendiri dalam masa terdekat. Pada masa ini, kita harapkan Unit Bencana Negeri Selangor sahaja. Mereka gunakan di seluruh Selangor untuk pelbagai tujuan lain.

Perolehan dron ini kita dapat manfaatkan dalam bermacam cara, bukan sahaja kebakaran hutan sahaja tetapi juga memantau pencerobohan hutan dan sebagainya. Kita lihat penggunaan dron ini sebagai satu kaedah yang kita boleh amalkan dalam aspek pengurusan hutan secara keseluruhan dan holistik.

IMG_1272Saya akan segera berbincang dengan pihak tertentu termasuk Pegawai Kewangan Negeri. Kita akan lihat mungkin ada kaedah yang membolehkan dron diperoleh secepat mungkin dan kemungkinan boleh digunakan peruntukan Jabatan Perhutanan yang ada sekarang untuk membuat perolehan dron ini tetapi sudah tentu tertakluk kepada tatacara pembelian ini.

Dron ini bukan setakat beli begitu sahaja tetapi kita kena nilaikan juga pakej yang disertakan. Kita tak nak beli tetapi hanya pakai pada tahap minima sahaja. Kita nak pakej mampu memberi pulangan maksima secara keseluruhan.

Saya rasa kebetulan pula kegunaan dron pada masa ini agak tinggi di serata negeri dan permintaan jadi banyak menyebabkan terdapat persaingan pengeluar dron, sekali gus menawarkan harga kompetetif.

Menggunakan dron lebih rendah berbanding menerbangkan sebuah helikopter atau pesawat kecil untuk membuat tinjauan yang sekali penerbangan sahaja kosnya mungkin mencecah belasan ribu atau ada juga puluhan ribu ringgit tetapi kita boleh guna berulang kali dengan dron.

SelangorKini:Apakah antara cabaran utama Jabatan Perhutanan Selangor bagi mengatasi isu kebakaran hutan idan bagaimana kaedah mengatasi cabaran ini?

Dr Puat:Sebenarnya, tidak memadai kita ada Pelan Pengurusan Bersepadu (IMP) tetapi tidak dapat laksanakan sepenuhnya. Peruntukan adalah perkara yang amat penting. Alhamdullilah, Kerajaan Negeri memberi peruntukan yang cukup kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk menggerakkan aktiviti melaksanakan program pembangunan hutan khususnya di hutan paya gambut di Selangor Utara dan Hulu Langat.

Bagi Rancangan Malaysia ke-11, kita dah mula merancang bagaimana hendak menguruskan ‘water table’ iaitu jadual paras air di dalam hutan paya gambut sendiri.

Kaedah menguruskan ‘water table’ atau jadual paras air supaya berada di bawah lantai hutan tidak jatuh di kala musim kemarau adalah cabaran paling besar Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Saya melawat Hutan Simpan Raja Musa dan lihat paras air, kalau ikutkan dalam cuaca sekarang sepatutnya susut tetapi disebabkan pengurusan hutan yang begitu teliti dengan mengambil kira kaedah kawalan penyusutan air dalam kawasan hutan simpan kita, sehingga kini paras air berada pada paras selamat.

IMG_1136Namun, bahagian permukaan memang dah kering sebab hujan tak turun dah berapa lama di situ antara tiga atau empat bulan tetapi masih boleh bertahan disebabkan berjaya kekalkan paras air tadi dengan membuat pemeriksaan empangan dan memasang pam besar berkapasiti tinggi yang diluluskan Pihak Jabatan dan Saliran (JPS).

Kita pasang di sana dan mula beroperasi ditambah dengan pihak JPS yang turut membantu meminjamkan pam mereka, maka kita bawa air daripada lombong dan salir juga banjirkan kawasan hutan. Kita juga ada buat rangkaian saliran paip memasuki kawasan hutan. Bila dipam, air ini akan membanjiri kawasan hutan di bahagian bawah sehingga di paras yang dirasakan perlu.

SelangorKini:Apabila berlaku sesuatu kebakaran hutan, biasanya kerugian dalam bentuk bagaimana akan berlaku?

Dr Puat:Sebenarnya, kerugian memang amat memberi kesan kepada kita. Pertama sekali jika melibatkan kemusnahan pokok yang ditanam, jaga, belai bertahun-tahun tiba-tiba musnah sekelip mata, maka ia sangat memberi kesan kepada semua bukan sahaja Jabatan Perhutanan tetapi seluruh generasi masyarakat.
Kebakaran ini akan memusnahkan secara ‘total’ dan kalau yang ada tertinggal juga akan mati akibat kesan haba kebakaran.

Selain pokok, binatang juga akan terjejas. Hutan paya gambut adalah habitat binatang tertentu, contohnya di hutan paya gambut ini ada ikan tapah dan bujuk yang tidak semua tempat ada ikan seperti ini. Ikan sumber makanan dan ekonomi kepada penduduk kerana di hutan ini ada enam spesis ikan yang boleh dikomersialkan.

SelangorKini:Kalau dinilaikan daripada segi wang ringgit, berapakah jumlah kerugian dicatatkan tahun lalu dan setakat ini bagi 2016?

Dr Puat:Kalau nak nilaikan daripada segi wang ringgit, kita tak boleh beri nilaian tepat. Mungkin ada yang nilaikan untuk satu hektar RM10,000 atau RM20,000 dengan mengambil kira pokok dan binatang yang ada tetapi sebenarnya kita perlu ingat kawasan hutan paya gambut ini adalah kawasan yang sudah berevolusi sejak ribuan tahun.

Air yang terkandung dalam kawasan hutan paya gambut pula adalah takungan yang membekalkan air kepada pesawah padi di daerah Sabak Bernam dan sebagainya. Jadi, sumber air ini kalau kita nak terjemah kerugian wang ringgit, ia turut meliputi pendapatan petani.

IMG_1306Sumber air ini dialirkan melalui Sungai Tengi dan kemudiannya dimanfaatkan melalui terusan untuk pesawah padi. Kita pun tahu sawah padi di Sabak Bernam sangat subur sehingga menjadi kawasan pengeluaran padi tertinggi per hektar.

Saya percaya, hutan ini bukan sahaja membekalkan air kepada pesawah tadi tetapi juga mungkin terdapat mineral baik yang kita belum tahu lagi terdapat dalam kandungan air yang menyebabkan tanah pesawah di Sabak Bernam begitu subur.

Saya rasa Jabatan Pertanian perlu buat kajian tentang kandungan air hutan gambut ini. Kalau kita tengok air hutan gambut ini berwarna gelap seperti nescafe ‘O’ menandakan kandungan mineral yang tinggi selain itu juga menyumbang oksigen seperti hutan lain.

Secara keseluruhannya, bagi menjawab soalan tadi sebenarnya kita tak dapat nilaikan berapa banyak kerugian kerana peranannya tidak ternilai daripada segi wang ringgit.

Sebenarnya, kita dianugerahkan empangan semula jadi yang baik iaitu Hutan Simpan Raja Musa. Cuma, kita perlu urus dengan baik supaya tidak berlaku kerosakan ekosistem yang sangat unik dan dinamik ini.

SelangorKini:Akhir sekali, mungkin Dr ada nasihat kepada orang ramai berkenaan isu kejadian kebakaran hutan yang semakin banyak berlaku sekarang?

Dr Puat: Nasihat saya, kita berhadapan dengan musim El Nino ini, maka kena berhati-hati dan berwaspada. Segala tindak tanduk kita khususnya berkaitan dengan perkara yang mengakibatkan kebakaran perlu berhati-hati. Paling baik kita tidak membuat pembakaran.

Jika ia berlaku, kena cepat maklumkan pada pihak berkuasa negeri, PBT dan sebagainya kerana kita mempunyai Unit Pengurusan Bencana yang efisyen. Jangan kira siapa yang mulakan kebakaran, tanah siapa, hutan simpan mana atau tepi jalan.

Kita jangan tak ambil kisah jika berlaku di tanah persendirian kerana dari situ boleh merebak sama ada ke tanah persendirian orang lain, tanah milik kerajaan atau hutan simpan yang akhirnya menghasilkan jerebu dan memberi kesan kepada semua orang tanpa memilih siapa. Kesan paling ketara adalah kesihatan, sosial dan ekonomi seperti sektor pelancongan.

Di Sepang, ada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang banyak kapal terbang berlepas dan mendarat. Bila jerebu mampu membahayakan kapal terbang ini.

Sekarang juga ada beberapa sekolah ditutup kerana panas dan sama juga kalau jerebu teruk sangat, maka sekolah terpaksa ditutup. Kita perlu bertindak bijak dan cepat. Bijak sahaja tetapi tidak cepat tak memadai.

Di Lebuh Raya Elite contohnya, pemandu hisap rokok dan baling saja ke luar. Dia fikir akan padam tetapi sebenarnya, dalam keadaan begini puntung rokok sahaja boleh menyebabkan kebakaran. Api ini masa kecil dia kawan tetapi bila besar dia makan kawan.


Tiada ulasan: