Selasa, 24 Mei 2016

Mesyuarat MPPH tangguh kerana Presiden PKR tiada kuasa - Shahrir

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


KUALA LUMPUR: Pengerusi kelab penyokong kerajaan Tan Sri Shahrir Samad hari ini membidas kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyalahkan PAS sebagai punca Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) ditunda.

Katanya, punca utama penangguhan mesyuarat itu adalah Wan Azizah sendiri kerana beliau tidak mempunyai kuasa yang lebih kuat berbanding timbalannya, Datuk Seri Mohd Azmin Ali yang menjadi pengantara dalam rundingan dengan PAS.

"Bukan PAS puncanya tetapi puncanya Wan Azizah dan tindakan beliau hendak menyalahkan PAS saya rasa tidak tepat sebenarnya,

"Beliau sendiri kena mengakui bahawa beliau sebagai Presiden PKR tetapi tidak mempunyai kuasa yang lebih kuat untuk mengatasi Azmin itu sendiri.

"Azmin sendiri di bawah telunjuk DAP kerana DAP mempunyai proksi yang kuat iaitu kami yang juga lebih mendengar kepada arahan DAP dan 'menari' ikut rentak DAP dan PKR dalam keadaan berbalah ini tidak mampu untuk mengatasi permainan politik DAP itu sendiri," katanya ketika ditemui Antarapos di parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mencabar Pakatan Harapan untuk berhadapan perlawanan tiga penjuru dengan menggunakan 'tukang kempen' mereka, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

"Tetapi bagaimanapun sepatutnya Pakatan Harapan berdepan dengan tiga penjuru saya rasa mereka patut rasa yakin kerana mereka mempunyai Tun Dr Mahathir sebagai penyokong kuat dan 'tukang kempen' yang kuat bagi pihak mereka," ujarnya.

Semalam Wan Azizah mendakwa Mesyuarat Majlis Presiden PH terpaksa ditunda beberapa kali kerana menunggu respon rasmi PAS berkenaan pendirian parti itu untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Mesyuarat tersebut sepatutnya diadakan pada semalam (Isnin) selepas ditunda pada Khamis lalu.

Ia diadakan bagi membincangkan soal peletakan calon pembangkang di dua kerusi berkenaan, selepas pendirian PAS yang mahu mempertahankan kerusi tradisionalnya, selain hasrat Parti Amanah Negara (PAN) untuk turut sama bertanding.

Hari ini, Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad turut menyelar Azizah menyalahkan PAS dan menegaskan bahawa parti Islam itu tidak menganggu urusan dan keputusan 'rumah' orang lain.


Tiada ulasan: