Jumaat, 6 Mei 2016

MESEJ DARIPADA TUHAN

shahbudindotcom


Semalam, 5 Mei adalah hari terakhir kebanyakan pemimpin pembangkang boleh berada di bumi Sarawak. Adenan Satem dengan keras dan angkuh menggunakan peruntukan autonomi Imigresen bagi menghalang pertandingan sama rata dan sama adil dengan seolah-olah hanya pemimpin BN saja boleh mendekati rakyat menjelang dua hari terakhir sebelum pembuangan undi.

Tetapi dengan berlakunya tragedi helikopter hilang yang melibatkan seorang timbalan menteri, seorang ahli parlimen, seorang ketua setiausaha kementerian dan tiga yang lain, semua pemimpin BN sebaliknya lebih sibuk bercakap mengenai kejadian itu di hari-hari terakhir di mana mereka sepatutnya lebih menggunakan segala usaha untuk meraih undi.

Bagi pemimpin peringkat negeri, mungkin gerak kerja kempen mereka tetap seperti biasa, tetapi bagi pemimpin Semenanjung, terutamanya Najib Razak dan Zahid Hamidi, menteri-menteri dan yang lain-lain, tumpuan tentu saja lebih kepada tragedi malang itu, tambahan pula ia melibatkan nyawa orang-orang penting dalam kerajaan.

Dengan itu, agenda mendekati pengundi di saat-saat akhir sebelum pembuangan undi secara tidak langsung telah hilang fokusnya.

Berdasarkan penemuan awal satu jasad wanita sehingga tengahari tadi dan beberapa bahagian helikopter yang bertaburan setakat ini, adalah dipercayai kesemua penumpang telah terbunuh dalam kejadian malang itu.

Melalui tragedi yang tidak disangka-sangka itu, Tuhan sebenarnya cuba menghantar mesej untuk sebuah keangkuhan dan kesombongan yang selalu menjadi amalan manusia yang berkuasa sehingga merasakan mereka boleh berbuat apa saja di dunia ini.

Sama seperti pemimpin pembangkang yang dihalau dan dinafikan hak bertemu rakyat, majoriti pemimpin BN juga akhirnya sama-sama tidak dapat menjalankan kerja-kerja kempen pilihanraya di saat-saat akhir.

Lantaran  itu, bagi yang mahu berfikir, berpada-padalah menggunakan kuasa dan jangan sampai lupa bahawa Tuhan sentiasa ada memerhati kita. Tuhan pasti adil kepada kita semua.

Kepada pengundi Sarawak, fahamilah mesej Tuhan itu dalam menunaikan tanggungjawab pada 7 Mei nanti untuk sekurang-kurangnya membuang keegoan dan keangkuhan mereka yang berkuasa itu, kalau pun tidak mampu melakukan perubahan yang lebih menyeluruh.

Lebih penting daripada itu, jika pun BN menang dengan bergaya dalam pilihanraya ini, kesedihannya tetap dirasai oleh ramai orang berbanding mahu bergembira meraikannya.

Tragedi helikopter terhempas yang berlaku di Sarawak ini juga mengingatkan kepada kejadian yang sama kira-kira setahun lalu di Semenyih yang melibatkan kematian Ahli Parlimen, Jamaluddin Jarjis, seorang pegawai kanan di pejabat Perdana Menteri dan beberapa yang lain.

Dijumlahkan dengan tragedi kehilangan MH370 yang masih misteri dan MH17 yang ditembak jatuh Ukraine, bermakna dalam tempoh singkat 7 tahun pemerintahan Najib sudah berlaku empat kejadian berdarah serta menghibakan rakyat yang melibatkan kapalterbang dan helikopter.

Jika helikopter yang terhempas di Selangor itu mengorbankan seorang Ahli Parlimen iaitu Jamaluddin Jarjis, kali ini ia melibatkan dua orang iaitu Noriah Kasnon, Ahli Parlimen Sungai Besar juga seorang timbalan menteri dan Wan Khairil Anuar Wan Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Kenapakah tragedi demi tragedi ini begitu kerap berlaku di zaman Najib dan tidak di era Tun Mahathir atau Pak Lah?

Apakah ia turut ada kaitan dengan keangkuhan dan keegoan terhadap kuasa yang begitu berleluasa yang dilakukan semata-mata untuk melindungi kesalahan demi kesalahan yang hakikatnya sudah pun menjadi perbualan seluruh dunia?

Sementara kita bersedih dan bersimpati dengan mangsa tragedi dan anggota keluarganya, yakinlah juga bahawa kejadian-kejadian buruk yang terlalu kerap dan tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini pasti ada mesej tertentu daripada Tuhan untuk kita semua.



Tiada ulasan: