Selasa, 31 Mei 2016

MCA bukan saja lawan hudud, malah anti nilai Islam - Ridhuan Tee

HAZAYANI ZAKARIA
Dr Ridhuan Tee AbdullahDr Ridhuan Tee Abdullah


Penceramah bebas Ridhuan Tee Abdullah menegaskan, tindakan beliau keluar daripada MCA bukan semata-mata kerana penentangan parti itu terhadap hudud sebaliknya sudah lama tidak berpuas hati dengan sikap MCA terhadap Islam.

Ridhuan yang sudah 20 tahun menjadi ahli MCA berkata, tidak guna lagi beliau terus berada dalam MCA kerana nasihat dan teguran beliau tidak diberi perhatian oleh parti orang Cina itu.
"Kalau saya terus ada dalam MCA pun mereka tak guna pun nasihat saya. Dah lama saya bagi nasihat, tegur mereka jaga sensitiviti orang Islam, tapi tak dipedulikan.
"Cuma dulu tidaklah seperti sekarang penentangan terhadap Islam. Bukan sahaja soal hudud tapi apa juga nilai-nilai Islam yang ingin dilaksanakan, ditentang.

"Yang kita rasa baik untuk orang Islam mereka terus tak setuju. Contohnya di Terengganu kita nak buat bonceng lelaki perempuan yang bukan mahram tak boleh dan MCA marah padahal bukan ada kaitan dengan orang Cina,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ridhuan juga berkata, masih banyak cara untuk berdakwah kepada orang bukan Islam selain menganggotai MCA.

"Dakwah ini terlampau banyak caranya bukan hanya melalui parti. Melalui NGO boleh, kita ada Persatuan Cina Muslim dan NGO-NGO lain.

Beliau menambah, niatnya menyertai MCA untuk menyebarkan Islam kepada mereka namun perkara itu dilihat semakin sukar kerana sikap MCA sendiri.

"Saya tak nak orang Cina fikir masuk Islam itu masuk Melayu. Cina ini begitulah. Bila masuk Islam maksudnya masuk melayu. Kita nak katakan kita masih lagi Cina. Agama sahaja berbeza.

"Atas dasar ini saya nak menyebarkan Islam secara tak langsung kita masuk MCA. Kita nak jadi jambatan kalau ada apa-apa masalah ada kekeliruan kita boleh jelaskan. Tapi nampaknya mereka tidak ada keinginan.

"Parti ini lebih kepada nak buat duit. Bertanding lawan DAP, lawan Cina tak pernah menang pun.
Kebanyaan menang dengan ihsan undi orang Melayu. Tapi buat kenyataan menyakitkan hati orang Islam, orang Melayu," katanya.

Semalam, Ridhuan mengumumkan keluar MCA sebagai tanda protes kepada penentangan berterusan parti itu terhadap hudud.

MCA antara parti komponen BN yang amat lantang dan konsisten menentang pelaksanaan hudud.
Parti itu malah mengugut keluar daripada kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini susulan langkah kerajaan mengusulkan supaya rang undang-undang persendirian bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah dipercepat minggu lalu.

Tiada ulasan: