Selasa, 3 Mei 2016

Lim hantar e-mel pada PM, ajak debat isu 1MDB

MALAYSIAKINI




Lim Kit Siang berkata beliau telah menghantar e-mel kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menghadiri mesyuarat kabinet yang dijadual diadakan di Kuching esok.

Mendedahkan demikian dalam satu kenyataan media, pemimpin veteran DAP itu berkata beliau mahu mengemukakan sebab mengapa kabinet mesti mengambil pendirian mengenai isu 1MDB.

Selain itu, ahli parlimen Gelang Patah itu juga mencabar perdana menteri mengambil bahagian dalam satu siri debat mengenai perkara itu.

Jika dibenarkan menghadiri mesyuarat kabinet, Lim berkata, beliau akan memberi taklimat mengenai maklum balas orang ramai yang telah diterima daripada 121 kawasan parlimen yang beliau lawati sejak digantung enam bulan dari parlimen.

"Saya bersedia turun ke Kuching untuk hadir di hadapan kabinet esok kerana kepentingan kritikal skandal 1MDB, bukan sahaja untuk pembangunan ekonomi Malaysia tetapi juga untuk Sarawak," katanya.

Pemimpin DAP itu berkata jika berlaku senario buruk, bukan Najib atau 1MDB akan menanggung akibatnya, tetapi rakyat Malaysia dan generasi akan datang akan turut menerima kesan.

Bagi memperdebatkan isu 1MDB, Lim mencadangkan ia diadakan bermula esok di Kuching, diikuti Sibu pada hari Khamis dan Miri pada keesokannya.

"Wakil-wakil DAP akan berhubung dengan pejabat perdana menteri untuk debat terhebat 1MDB di Sarawak.

"Perdana menteri sendiri adalah calon terbaik untuk tampil dalam tiga debat berkenaan supaya pengundi Sarawak boleh memahami sepenuhnya selok-belok; asal, sebab, perkembangan dan penyelesaian skandal kewangan global pertama Malaysia.

"Bagaimanapun, Najib mempunyai kebebasan melantik mana-mana calon untuk debat itu," tambah beliau.

Tiada ulasan: