Isnin, 9 Mei 2016

Lim: Adenan dapat ramal kemenangan BN kerana gerimander

MALAYSIAKINI




DAP Sarawak kehilangan lima daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri yang baru berakhir dan parti itu menyalahkan antara lain persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata kawasan pilihan raya baru itu adalah sebab mengapa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dapat meramalkan kemenangan BN dalam pilihan raya negeri itu.

"Ia adalah kerana gerimander (manipulasi persempadanan semula) membolehkan Adenan semasa kempen pilihan raya meramalkan BN akan menang sekurang-kurangnya 70 daripada 82 kerusi, yang ternyata akhirnya menjadi 72," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim memetik penganalisis politik Bridget Welsh, yang meramalkan keputusan pilihan raya negeri semalam dan bagaimana SPR menyusun sistem yang memihak kepada BN melalui persempadanan semula.

Bagaimanapun, Lim menegaskan bahawa DAP masih komited untuk perubahan politik melalui proses demokrasi dan ia perlu bersedia untuk menghadapi kemenangan dan kekalahan melalui peti undi.

"Walaupun kecewa dan dihalang, DAP tidak akan terpesong daripada matlamat kami untuk memilih calon daripada Cina, Dayak dan Melayu di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Ia telah mengambil masa 18 tahun untuk wakil rakyat DAP dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"DAP Sarawak bersedia untuk jangka panjang bersama-sama dengan rakyat Sarawak untuk mencapai sasaran seterusnya - untuk memilih kerajaan negeri yang baru yang akan memberi keutamaan kepada keperluan dan hak rakyat, bukan hanya kepada kroni," katanya.

Tiada ulasan: