Isnin, 30 Mei 2016

Langkawi bakal jadi pulau pelancongan kosmetik

FREE MALAYSIA TODAY


Tanah berkeluasan 243 hektar di Kampung Ulu Melaka telah dikenal pasti sebagai lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan, kilang, pusat jualan serta pusat penanaman herba.


Datuk-Mohd-Rawi-Abd-Hamid


LANGKAWI: Langkawi bakal dijenamakan sebagai destinasi pelancongan kosmetik menerusi pembangunan Langkawi Cosmetic Island membabitkan pelaburan RM200 juta yang diilhamkan menyerupai Loire Valley di Perancis bagi menarik minat lebih ramai pelancong berpendapatan tinggi ke pulau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, setakat ini tanah berkeluasan 243 hektar di Kampung Ulu Melaka telah dikenal pasti sebagai lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan, kilang, pusat jualan serta pusat penanaman herba.

Melalui pewujudan pusat itu katanya, pengeluar pelbagai jenama kosmetik terkemuka dunia akan membuka cawangan dan menghasilkan produk mereka sepenuhnya di Langkawi bermula daripada proses mendapatkan bahan mentah seperti herba dan bunga sehingga ke produk akhir.

“Kami mahu wujudkan tempat memproses minyak wangi dan kosmetik kerana mereka sedar kebanyakan (minyak wangi dan kosmetik) menggunakan herba dari dunia tropika dan Langkawi oleh kerana ada sinergi pelancongan jadi ia adalah tempat terbaik (untuk mewujudkan pusat kosmetik),” katanya selepas menghadiri perasmian Hotel St Regis semalam.

Mohd Rawi yang juga ADUN Ayer Hangat berkata, lokasi itu dipilih berdasarkan nasihat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama BioTech Corporation.

“Ia juga akan mewujudkan aktiviti ekonomi hiliran memandangkan harga getah jatuh. Kami boleh bekerjasama dengan pertubuhan peladang dan petani untuk mereka usahakan tanaman bahan mentah ini (herba dan bunga) dan kalau boleh bukan saja di Langkawi tapi di seluruh Kedah seperti Padang Terap dan Baling,” katanya.

Dalam ucapan ketika menghadiri perasmian Hotel St Regis semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebuah pusat kosmetik akan dibangunkan di Langkawi dan beliau mahu perancangan itu dilaksanakan dengan cara kreatif.

Kira-kira 5,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dan dalam tempoh lima tahun kata Mohd Rawi, ia bakal menjana pendapatan sebanyak RM500 juta, selain turut merancang membina sebuah institut pengajian minyak wangi dan kosmetik.

Antara tanaman yang telah dikenal pasti sesuai ditanam di Langkawi ialah bunga kemboja, melur, ros, cempaka, kenanga, vetiver grass dan setakat ini syarikat produk kesihatan tambahan, Biolpha merupakan syarikat pertama yang mengesahkan akan membuka cawangan di pusat kosmetik itu.– BERNAMA

Tiada ulasan: