Rabu, 4 Mei 2016

K'jaan terima semua cadangan PAC mengenai 1MDB

MALAYSIAKINI




Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) selaku pemegang saham 100 peratus dalam 1MDB bersetuju melaksanakan semua cadangan yang terkandung dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas firma pelaburan negara itu.

Antaranya, termasuk memindahkan hak milik Bandar Malaysia, TRX City dan tanah di Air Itam dan Pulau Indah daripada 1MDB kepada MoF Inc.

Kementerian juga bersetuju dengan cadangan PAC supaya Artikel 117, Memorandum dan Artikel Persatuan menukar semua rujukan daripada “perdana menteri” kepada “menteri kewangan”.

Turut dipersetujui adalah pembubaran lembaga penasihat 1MDB dan menerima tawaran peletakan jawatan oleh lembaga pengarah 1MDB berkuatkuasa 31 Mei ini.

Bagaimanapun menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan hari ini, Arul Kanda Kandasamy akan kekal sebagai presiden 1MDB sehingga notis lanjut.

PAC, ketika membentangkan laporan 106 muka surat itu pada bulan lalu, mengenal pasti beberapa kelemahan dalam tadbir urus dan badan membuat keputusan 1MDB.

Ia juga mencadangkan bahawa 1MDB memindahkan semua asetnya kepada MOF Inc kerana ini akan membolehkan penelitian lebih teliti ke atas aset miliknya itu.

PAC juga mencadangkan bahawa lembaga penasihat 1MDB dimansuhkan dan bahawa rujukan kepada “perdana menteri” ditukar kepada “menteri kewangan” seperti peruntukan di syarikat-syarikat kementerian kewangan yang lain.

Artikel 117 Memorandum dan Artikel Persatuan memperuntukan pelantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB.

Selain daripada cadangan yang dinyatakan, PAC juga menggesa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pegawai-pegawai lain yang berkaitan disiasat.

Ini kerana Shahrol mesti bertanggungjawab terhadap segala kepincangan dalam firma pelaburan negara itu, kata PAC dalam laporannya.

Tiada ulasan: