Selasa, 3 Mei 2016

Kes Rooney Rebit bukan kes murtad, kata Tariq Ismail

 
Cucu bekas Timbalan Perdana Menteri memahami sentimen sekitar hal murtad tetapi kes Rooney bukan kes murtad, manakala Mujahid Rawa kesal ia dipolitikkan


tariq


PETALING JAYA: Kes Rooney Rebit bukan kes murtad dan tidak harus dianggap kes murtad, kata pengasas NGO Aura Merdeka, Tariq Ismail.

Mengulas kekecewaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) di atas keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menarik balik notis rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang membenarkan Rooney keluar Islam dan keputusan itu dipaparkan dalam rekod pendaftarannya, Tariq berpendapat kes Rooney ini merupakan kes istimewa.

Beliau memberitahu FMT bahawa dirinya memahami sentimen PERKASA dan ISMA berkenaan hal murtad, tetapi mereka tidak sepatutnya melihat kes Rooney sebagai kes murtad dan hakim terbabit, Yew Ken Kie pasti telah mengambil kira semua perkara-perkara yang perlu dalam membuat keputusan.

Cucu kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman berkata, teras isu ini adalah perbezaan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah, yang beliau percaya boleh diselesaikan melalui mahkamah khas yang dianggotai hakim-hakim sivil dan syariah.

Beliau menjelaskan langkah itu antara cara untuk menyelesaikan semua kes-kes agama tertentu dan akan mengelakkan pertikaian ke atas keputusan yang dibuat oleh kedua mahkamah.

“Bergerak ke hadapan kita perlu galakkan wacana, tetapi kadangkala NGO-NGO tertentu bertindak melampau. Sudah sampai masanya NGO berusaha bersama mencari penyelesaian, bukannya berbalah.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Rawa berkata Perkara 11 Perlembagaan menjamin kebebasan beragama dan sekiranya seseorang itu mahu keluar agama atas dasar sukarela, percaya, tanpa paksaan dan tanpa ganjaran wang maka mereka harus dibenarkan berbuat demikian.

Mujahid berpendapat pertama-tamanya JPN tidak sepatutnya merayu keputusan mahkamah sekiranya pihak berkuasa agama telah mengeluarkan surat pelepasan untuk Rooney.

“Saya yakin Jabatan Agama Islam Sarawak dan Majlis Islam Sarawak telah meneliti semua perkara sebelum bersetuju mengeluarkan surat pelepasan itu,” katanya kepada FMT.

Mujahid bagaimanapun kesal perkara ini telah dipolitikkan dan jaminan Perdana Menteri bahawa JPN akan menarik balik rayuan itu menunjukkan campur tangan badan eksekutif dalam badan kehakiman.

“Sebagaimana Najib mengumumkan penyelesaian 10 perkara kepada isu Bible sebelum pilihan raya Sarawak sebelum ini,” katanya, dan menambah adalah salah untuk mempolitikkan hal-hal seperti itu.

Beliau menambah sekiranya JPN telah memfailkan rayuan maka proses perundangan perlu dibiarkan berjalan seperti sepatutnya, manakala tindakan JPN menarik balik rayuan di kala pilihan raya menunjukkan isyarat yang tidak baik.

Tiada ulasan: