Isnin, 9 Mei 2016

Kekalahan teruk PRN Sarawak pencetus tawaran PKR kepada PAS

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic


SHAH ALAM: Penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed mendakwa tawaran PKR terhadap PAS mungkin disebabkan prestasi buruk parti pembangkang pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Katanya, tindakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang membuat tawaran tersebut selepas menyedari bahawa hanya kerjasama di antara PKR-DAP-PAS mampu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya melihat bahawa Pakatan Harapan mungkin sedar mereka perlu bekerjasama terutama dalam menghadapi PRU-14, ini kerana prestasi yang buruk telah dilalui baru-baru ini oleh Pakatan terutama apabila masing-masing cuba mempertahankan ego.

"Ini bersandarkan kepada lima kerusi PKR-DAP yang ditandingi kalah kepada BN (PRN Sarawak). Ini menunjukkan senario masing-masing cuba mempertahankan kepentingan perlu diketepikan dan mencari apa juga jalan dan strategi untuk bekerjasama dan memastikan mereka terus kuat dan mampu berlawan dengan BN," katanya kepada Antarapos.

Namun beliau juga tidak menolak, PAS akan bersetuju untuk menjalin semula kerjasama di antara PKR dan DAP selepas apa yang berlaku terhadap parti Islam itu sebelum ini.

Bagaimanapun ujarnya, tawaran itu boleh difikirkan sekiranya pembangkang mahu mengukuhkan kedudukan mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"Pada ketika ini saya tidak rasa PAS ingin bekerjasama terutama memandangkan DAP-PAN berterusan mengkritik PAS. Banyak juga senario yang tidak memungkinkan kerjasama itu berlaku.

"Namun dalam perspektif yang lain bahawa perlu ada yang mengajukan perkara atau tawaran tersebut demi memastikan bahawa semangat kerjasama itu akan wujud walaupun masing-masing mempunyai pandangan dan ideologi yang berbeza.

"Tapi mungkin untuk PH ada masa depan yang cerah dalam landskap politik negara maka mereka perlu mengenepikan perbezaan tersebut," jelas beliau.

Tambah Martadha lagi, sekiranya pembangkang mampu mengenepikan ego masing-masing pastinya ia akan memberi kelebihan kepada mereka kerana ketiga-tiga parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.

"Pembangkang tidak akan sekuat yang sebelum ini kerana kekuatan PR terdahulu adalah gabungan antara DAP-PKR-PAS. Masing-masing parti mempunyai kelebihan tertentu, DAP mempunyai kelebihan di kawasan bandar dan kawasan pengundi Cina, PKR pula tumpuan mereka lebih kepada masyarakat Melayu bandar dan PAS pula lebih kepada masyarakat Melayu luar bandar dan golongan profesional Melayu.

"Inilah kekuatan masing-masing yang menggabungkan PR sebelum ini yang memberikan kekuatan untuk kuasai Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan juga sebelum ini Terengganu dan Perak," tambah beliau.

Semalam, Azmin yang juga menteri besar Selangor dalam satu kenyataan berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk dalam PRN Sarawak yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Oleh itu, bagi memastikan hasrat pakatan pembangkang untuk mengubah masa depan Malaysia, PKR mengajak PAS untuk kembali bersamanya dan DAP.

Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan BN mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh daripada 31 kerusi ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi ditandingi.

PAS dan PAN pula tewas di semua kerusi yang ditandingi.


Tiada ulasan: