Rabu, 4 Mei 2016

KEADILAN Sarawak kemuka 5 tuntutan segera pada Najib

KEADILAN DAILY


KUCHING : Kesemua calon KEADILAN bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-11 mengemukakan lima tuntutan bagi diselesaikan segera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

IMG_2769 


Naib Pengerusi KEADILAN negeri, See Chee How berkata ia berkaitan isu-isu royalti minyak dan gas, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) , pemerkasaan Bahasa Inggeris dan beberapa isu lain.

“Isu-isu yang dibangkitkan sejajar dengan kepentingan rakyat negeri Sarawak.

“Kami mendesak Najib memberi reaksi dengan segera terhadap isu yang kami bangkitkan ini, kerana jawapan itu sudah lama dinantikan,” kata Chee How dalam satu sidang media diadakan berhampiran Wisma Bapa Malaysia di Petrajaya pagi tadi.

Sidang media tersebut turut dihadiri Calon Bagi N.20 Tarat, Musa Ngog, Nurhanim Mohsen (Tupong) Salleh Shawkatali (Satok) Voon Shiak Ni (Batu Kitang) dan calon bagi kerusi Opar, Francis Teron.

Tambah penyandang kerusi Batu Lintang itu lagi, isu-isu berkaitan minyak dan gas di Sarawak memerlukan satu resolusi kukuh bagi memastikan “keadilan petroleum” dapat diberikan kepada mereka.

Beranggapan bahawa rakyat negeri itu telah diperdaya dalam soal hak minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri , beliau mahu Sarawak diberikan 20 peratus hasil minyak dan royalti gas seperti dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini.

IMG_2809

“Kami turut menuntut pembatalan Akta Sempadan Laut 2012 di Sarawak, kerana undang-undang itu menyekat kawalan sempadan negeri dalam jarak tiga batu nautika sebagai tidak berperlembagaan.

“Ia akan secara efektifnya, merendahkan integriti wilayah negeri dan sekaligus membenarkan Putrajaya menafikan tuntutan Sarawak di masa depan untuk pendapatan minyak dan gas serta sumber lain yang ditemui dalam sempadan wilayah kami,” tegasnya lagi.

Mereka sementara itu turut menggesa supaya Perjanjian Petroleum Tiga Pihak 1974 dibatalkan bagi menjaga kepentingan rakyat Sarawak.

Kerajaan negeri juga tegas mereka perlu mengadakan perbincangan bagi penyusunan dan perjanjian baru mengenai sumber minyak dan gas di Sarawak.

Sementara itu, dalam isu pendidikan pula, mereka turut menuntut agar pengiktirafan sah terhadap  EUC diumumkan secara terbuka oleh Perdana Menteri, tegasnya walaupun kerajaan negeri berkata bahawa sijil tersebut “diiktiraf”, namun Kerajaan Persekutuan sebelum ini difahamkan berkata sebaliknya.

“Kami menyeru untuk pengiktirafan penuh UEC bagi kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam.

“Sekali lagi, ini termasuk pemulihan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, ia membolehkan generasi akan datang dididik melalui semua pengantar untuk lebih bersaing,” kata Chee How.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata pemberian royalti minyak kepada negeri Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan buat masa sekarang atas alasan kejatuhan harga minyak dunia.

Tiada ulasan: