Sabtu, 21 Mei 2016

Ke mana hilang wang rakyat?



 
Oleh Ong boon teck


TIDAK apa-apa yang boleh dibanggakan. Begitulah kesimpulan yang boleh diperkatakan mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Sememangnya rakyat Malaysia patut marah mengenai tahap prestasi pengurusan kewangan di dalam agensi-agensi kerajaan yang amat lemah seperti tahun-tahun sebelumnya. Kecuaian dan ketirisan terus berlaku menyebabkan wang negara terus hilang dengan mudah tanpa terkawal.

Tidak dinafikan seperti dinyatakan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, terdapat 180 kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan mendapat penarafan Cemerlang (5 bintang), berbanding 114 pada tahun 2014.

Namun, laporan berkenaan tetap mendedahkan wujudnya kelemahan dan kekurangan ketika menguruskan wang kerajaan oleh pegawai-pegawai terbabit.

Sebagai contoh, Jabatan Audit mendapati kemudahan biometrik myIMMs yang menelan belanja RM10.3 juta telah dibekalkan tetapi tidak dipasang dan diguna pakai.

Dengan harga yang mahal, ia sepatutnya boleh mempertingkatkan kemudahan di pintu-pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga warganegara Malaysia. Malangnya, barang telah dibeli tetapi tidak ingin digunakan pula. Apa sebab dan tujuan?

Begitu juga dengan prestasi keseluruhan projek pembinaan Rumah Kekal Baharu untuk mangsa banjir.

Didapati hanya 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah itu masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lalu. Ini menyebabkan seramai 557 mangsa banjir serta keluarga di lima negeri yang dilanda bencana alam itu pada akhir 2014 masih menetap di rumah transit, khemah dan sebagainya.

Rakyat sedar kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat setiap kali dilanda banjir. Tetapi persoalan kerap kali ditimbulkan ialah setiap kali begitu banyak wang peruntukan disediakan oleh kerajaan, namun masalah tetap gagal diselesaikan!

Di sinilah terletak keupayaan pegawai-pegawai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan terbabit menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, menguruskan wang secara telus dan berhemah.

Rakyat amat mengharapkan semua pegawai terbabit dapat meningkatkan kecekapan mereka ketika menjalankan tugas kerana ini bukan sahaja mampu memberikan imej yang baik di mata rakyat, malahan turut membawa penjimatan wang negara daripada berlaku ketirisan secara berpanjangan.

Daripada Laporan Ketua Audit Negara ini, sudah jelas mendedahkan kepincangan dan kerugian yang berlaku. Ia membabitkan wang negara berjumlah berjuta-juta ringgit. Ini bukan sahaja berlaku pada tahun lalu tetapi tahun-tahun sebelum ini.

Jelaslah kepada kita bahawa pegawai-pegawai atasan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi memandang sepi laporan tahunan itu yang dibentangkan di Parlimen. Mereka tidak pernah mengambil pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan.

Apakah kerana tidak adanya tindakan disiplin dan hukuman dikenakan, maka mereka boleh terus mengabaikan tanggungjawab dengan sewenang-wenangnya? Agaknya kini sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah yang lebih drastik dengan mendakwa pegawai-pegawai kerajaan ke mahkamah sekiranya didapati melakukan kecuaian ketika mengurus wang kerajaan.

Jika tidak, maka tidak hairanlah dengan menunjukkan sikap 'tidak apa-apa' oleh sesetengah pegawai kerajaan, setiap hari wang negara terus hilang sedangkan wang yang berjuta-juta ringgit itu mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama golongan miskin di kawasan luar bandar.

Sekiranya setiap tahun tidak ada pihak memandang serius mengenai Laporan Ketua Audit Negara ini, kredibiliti Jabatan Audit Negara tentu tercalar, manakala penyiasatan dan pendedahan dilakukan hanyalah buang masa dan sia-sia sahaja.

Oleh itu, rakyat ingin bertanyakan kepada pemimpin negara, apakah mereka juga sekadar membaca laporan itu tanpa berusaha menyelamatkan wang negara daripada hilang setahun demi setahun?


Tiada ulasan: