Isnin, 9 Mei 2016

Hanya PAS Pusat boleh putuskan pelawaan Azmin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad memberitahu terserah kepada kepimpinan pusat untuk memutuskan sama ada menerima atau tidak pelawaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berhubung tawaran untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata demikian sebagai mengulas pelawaan PKR untuk PAS bersamanya dan DAP sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
 
"Keputusan (pelawaan Azmin) seperti itu hanya boleh dibuat oleh PAS pusat. PAS Selangor tidak boleh membuat keputusan tersebut," katanya yang dipetik laporan Malaysiakini.
 
Azmin yang juga menteri besar Selangor dalam satu kenyataan berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.
 
Oleh itu, bagi memastikan hasrat pakatan pembangkang untuk merubah masa depan Malaysia, PKR mengajak PAS untuk kembali bersamanya dan DAP.
 
Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.
 
DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. 
 
PAS dan AMANAH tewas di semua kerusi yang ditandingi.
 
PAS sebelum ini memutuskan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang.
 
Beberapa bekas pemimpin kanan PAS kemudiannya menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) dan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala PAS pula menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
 

Tiada ulasan: